DI DALAM sebuah studio televisyen di Gaza iaitu wilayah Palestin yang dikuasai oleh Hamas terdapat sebuah set yang menampilkan bendera Israel, dokumen-dokumen bahasa Hebrew dan potret bapa Zionisme moden, Theodor Herzl. Ia merupakan set... Klik di sini untuk terus membaca

DI DALAM sebuah studio televisyen di Gaza iaitu wilayah Palestin yang dikuasai oleh Hamas terdapat sebuah set yang menampilkan bendera Israel, dokumen-dokumen bahasa Hebrew dan potret bapa Zionisme moden, Theodor Herzl.

Ia merupakan set penggambaran televisyen yang menunjukkan sebuah pejabat keselamatan rejim Zionis yang dipercayai digunakan dalam konflik Israel dengan Palestin.

Ini adalah jawapan Hamas untuk sebuah program televisyen popular Israel seperti drama bersiri pasukan khas 'Fauda' yang telah mendapat berjuta-juta penonton di platform seperti Netflix, HBO dan TV Apple.

'Fauda' yang dalam bahasa Arab bermaksud kekacauan menggambarkan sebuah unit ketenteraan diketuai oleh seorang komander bernama Doron Kavillio dan melancarkan serangan-serangan di wilayah Palestin.

Seorang pengarah drama televisyen di Gaza, Mohammed Soraya mengakui telah menyaksikan 'Fauda' dan ia bukan idea yang baik di Gaza.

Untuk menonton mana-mana siri drama televisyen Israel bermaksud menyokong normalisasi hubungan dengan Israel, kata Moahmmed yang mengarahkan drama bersiri televisyen Hamas mengenai konflik tersebut.

Dia mendakwa bahawa drama bersiri televisyen seperti 'Fauda' itu menyokong penjajahan Zionis kerana jalan ceritanya ialah Israel menjenayahkan penduduk Palestin, katanya ketika bercakap dengan AFP di sebuah studio di Gaza.

"Kami ingin membalikkan persamaan bagi menunjukkan sudut pandang Palestin untuk menyiarkan drama mengenai semangat perjuangan kami."

SIRI DRAMA PENUMBUK PERCUMA

Hamas dianggap sebagai organisasi 'pengganas' oleh Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).

Kumpulan Islam itu menguasai Gaza, wilayah miskin yang mempunyai penduduk berjumlah lebih 2 juta orang.

Ia juga mengendalikan saluran televisyen Al-Aqsa dan telah membuat pelaburan dalam siri-siri televisyen yang diilhamkan daripada Hollywood dan sinetron Turki yang popular di seluruh Timur Tengah.

Siri yang kini sedang dalam proses pengeluaran atau penerbitan yang berjudul 'Qabdat al-Ahrar' atau 'Penumbuk Percuma' meninjau operasi Israel pada tahun 2018 di Semenanjung Gaza yang mengakibatkan kematian tujuh pejuang Hamas dan seorang pegawai Israel.

Drama bersiri televisyen Hamas menampilkan sudut pandangan Palestin terhadap Israel. - Foto AFP

Watak utama dalam siri drama itu ialah pejuang-pejuang Hamas yang telah berperang dalam empat perang melawan Israel sejak tahun 2008.

Melibatkan kos perbelanjaan yang sedikit, gaji pelakon rendah, set adalah asas dan tarikh akhir ketat bagi menyiapakn siri drama itu dengan pasukan produksi menjangkakan ia akan siap sebanyak 30 episod menjelang April depan, tepat pada waktunya untuk bulan suci Ramadan.

Walaupun siri drama Israel sering menampilkan pelakon-pelakon minoriti Arab-Israel di negara itu, produksi di Gaza tidak menggunakan pelakon Israel.

Ini menyebabkan pihak studio televisyen merekrutkan pelakon-pelakon tempatan untuk melakonkan watak-watak Israel dan merupakan pekerjaan yang kata para pelakon dapat mendedahkan mereka kepada permusuhan serta bahaya di dunia nyata.

PENGALAMAN PELAKON

Salah seorang daripada mereka ialah Jawad Harouda berusia awal enam puluhan dan dengan suara serak yang menggambarkannya sebagai Ketua Perkhidmatan Keselamatan agensi perisikan Shin Bet Israel dalam satu siri televisyen yang baharu.

"Beberapa wanita memandang saya dan berdoa agar saya mati," katanya di pejabat Shin Bet palsu.

"Saya gembira apabila orang menghina saya. Ini bermaksud saya telah berjaya (melakonkan watak ketua perisikan Shin Bet)," tambahnya.

Dalam produksi siri televisyen tersebut di Gaza, watak Israel itu bercakap dalam bahasa Arab dan atas permintaan Mufti Hamas, pelakon-pelakon wanita memakai tudung mereka walaupun memainkan watak orang Yahudi.

"Dalam satu siri, saya bermain sebagai wanita Yahudi," kata seorang pelakon, Kamila Fadel.

"Setelah siri ini disiarkan, seorang wanita cuba mencekik saya," katanya.

Menurut Kamila, wanita berkenaan memberitahunya bahawa dia membencinya.

Pada hari yang lain seorang budak lelaki berusia 13 tahun melemparkan batu ke kepalanya kerana memikirkan dia ialah seorang Yahudi.

Ini bermaksud saya memainkan peranan saya dengan baik, kata Kamila.

Tidak semua orang peminat produksi Hamas yang fokus pada konflik dengan Israel.

Tidak ada cinta dalam siri drama tersebut, kata pengarah dan pengkritik Palestin, Jamal Abu Alqumsan.

Jamal menyatakan potensi produksi seperti itu untuk menceritakan kisah penduduk Palestin sangatlah besar tetapi cabarannya banyak.

"Di Gaza, kita hidup di bawah sekatan (Israel), ini adalah situasi yang unik di dunia," katanya.

"Oleh itu, kita memerlukan pihak penerbit untuk melabur dalam siri berkualiti dan menceritakan kisah kita di seluruh dunia. Kami mempunyai pelakon yang baik. Mereka hanya memerlukan pengarah dan cara yang baik."

Buat masa ini, Jamal menyatakan bahawa dia tidak pasti akan kesan yang ditunjukkan menerusi rancangan televisyen tersebut.

"Drama televsieyen adalah senjata," katanya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca