SETELAH menghilang akibat pandemik Covid-19, pameran pertahanan bertaraf dunia dikenali sebagai Defense Services Asia (DSA) bakal kembali ke Kuala Lumpur, kurang 70 hari lagi. Bagi agensi, syarikat dan individu berkaitan kedua-dua bidang... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH menghilang akibat pandemik Covid-19, pameran pertahanan bertaraf dunia dikenali sebagai Defense Services Asia (DSA) bakal kembali ke Kuala Lumpur, kurang 70 hari lagi.

Bagi agensi, syarikat dan individu berkaitan kedua-dua bidang tersebut, ia sesuatu yang amat dinantikan. DSA lazimnya dihadiri oleh kesemua firma gergasi industri pertahanan global dengan mempamerkan sistem dan teknologi terkini.

Agensi berkaitan kedaulatan dan keselamatan dalam negara khususnya Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menimba ilmu, pengalaman, pembelajaran dan mengetahui apakah aset-aset terkini boleh diguna pakai bagi menjadikan tugas mereka lebih efektif serta efisien.

Perkara sama boleh diandaikan terhadap industri tempatan yang berkecimpung dalam kedua-dua bidang tersebut. Ia juga platform terbaik untuk belajar atau menjalinkan usaha sama dengan firma-firma global terkemuka yang hadir dalam pameran itu.

Malangnya, terdapat segelintir individu serta pihak industri yang melihat DSA semata-mata dari sudut mahu mengaut keuntungan kewangan mudah dengan menjadi orang tengah antara firma luar dan agensi tempatan.

Sekelumit individu atau industri dimaksudkan ini kadangkala berjaya memperoleh kontrak bernilai jutaan ringgit namun kerap kali pelaksanaan perolehan menghadapi masalah.

Antaranya, aset diserahkan tidak mengikut spesifikasi sebenar atau tidak semua aset yang sepatutnya diterima, diserahkan. Selain itu, kelewatan penyerahan aset dari tarikh kontrak dipersetujui seakan-akan telah sinonim dengan perolehan platform pertahanan baharu di negara ini.

Dalam kata aluannya di laman sesawang DSA 2022, Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz menyatakan, sesuatu perlu diberi perhatian oleh semua terlibat dalam bidang pertahanan dan keselamatan.

Menurut beliau: "Dalam peredaran pantas keadaan global hari ini, cabaran keselamatan dan ancaman baharu boleh dikatakan muncul serta berubah lebih cepat daripada dijangka. Jenayah siber, perang siber dan perang elektronik adalah contoh ancaman yang boleh muncul dan bermutasi pada bila-bila masa, baik di dalam atau di luar negara.

"Oleh itu, sangat perlu untuk negara global membuat pelaburan dalam pelbagai teknologi dan sistem baharu. Cara lama kita tidak lagi memadai dan kita perlu menepis pemikiran tradisional, sebaliknya menghasilkan solusi lebih moden.”

Jika dinilai apa yang disebutkan oleh beliau itu, sememangnya pengurusan di peringkat Kementerian Pertahanan sedar mengenai ancaman tersebut.

KELEWATAN SERAH ASET

Akibat evolusi ancaman yang berterusan, adalah kritikal bahawa mana-mana aset atau platform yang dipesan perlu diserahkan kepada pengguna mengikut kehendak dipersetujui dalam kontrak. Jika berlaku kelewatan, agensi tidak akan dapat menanganinya dengan efektif apabila timbul ancaman disebabkan ketiadaan aset.

Bagi sistem elektronik pula, kelewatan menyebabkan ia tidak lagi relevan apabila diasimilasikan dalam sistem milik agensi negara. Ini kerana ancaman asal telah bermutasi atau dipertingkatkan oleh musuh bagi menggodam sistem lama yang baru diterima negara.

Perenggan kedua dalam kata aluan adalah sesuatu yang telah dilaungkan sekian lama oleh ramai pemerhati dan penganalisa pertahanan tempatan. Ia berkaitan pelaburan yang perlu dilakukan, cara berfikir yang perlukan anjakan serta menolak pemikiran tradisional yang sekian lama membelenggu agensi berkaitan industri keselamatan serta pertahanan negara.

Sekiranya Kementerian Pertahanan mahu apa yang disebut KSU menjadi satu kenyataan demi kelangsungan industri berkaitan keselamatan serta pertahanan, DSA 2022 adalah titik permulaannya.

Di peringkat pengurusan, satu penilaian serius perlu dilaksanakan bagi menilai, mempertingkat dan memperkemas integriti, semak imbang kemampuan kewangan serta kehendak pengguna, juga penilaian perolehan perlu dibuat secara telus.

Satu pelan pembangunan industri pertahanan perlu dibangunkan berpaksikan kepada kenyataan serta objektif yang boleh dicapai, tidak hanya bersifat populis yang tidak akan mampu dikota.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007

Klik di sini untuk terus membaca