DALAM usaha melindungi dan memulihara alam sekitar, bukan kerajaan sahaja harus dipertanggungjawabkan, tetapi semua golongan masyarakat perlu mengambil tindakan melindungi alam sekitar termasuk belia. Golongan berkenaan merupakan teras... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM usaha melindungi dan memulihara alam sekitar, bukan kerajaan sahaja harus dipertanggungjawabkan, tetapi semua golongan masyarakat perlu mengambil tindakan melindungi alam sekitar termasuk belia. Golongan berkenaan merupakan teras penting yang menggambarkan kewujudan negara pada masa akan datang, lantaran perlu mempunyai pengetahuan, sikap dan amalan menyayangi alam sekitar dan berusaha melestarikannya untuk generasi akan datang.

Di Malaysia, belia merupakan kategori penduduk yang paling ramai, juga merupakan kumpulan tertinggi. Justeru, membangunkan potensi belia sebagai ejen penggerak kepada agenda pemuliharaan alam sekitar pastinya mampu melonjak pembangunan negara yang maju dan lestari. Maka, program pembangunan belia ke arah penjagaan dan kelestarian persekitaran seharusnya disokong sepenuhnya serta menyeluruh sehingga ke akar umbi sama ada di kawasan bandar atau luar bandar. Ini selaras dengan matlamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terkandung dalam Agenda 21 iaitu melibatkan golongan belia dalam pembangunan lestari.

Pelbagai inisiatif pembangunan belia telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk menghargai dan menyerlahkan potensi golongan berkenaan, di samping sentiasa berusaha untuk memantapkan kualitinya. Dalam mengekang kemerosotan kualiti dan kemusnahan alam sekitar, kesedaran dan jati diri perlu dipupuk dalam jiwa generasi muda ini supaya bersama-sama memelihara serta memulihara alam sekitar negara yang kian terancam.

Umumnya terdapat lapan pembolehubah signifikan dalam membentuk tingkah laku positif golongan belia terhadap alam sekitar; antaranya tahap sensitiviti alam sekitar, pengetahuan berkaitan strategi tindakan alam sekitar, kemahiran berkaitan strategi tindakan alam sekitar, peranan jantina, lokus kawalan individu, lokus kawalan kumpulan dan sikap terhadap pencemaran. Salah satu pembolehubah yang penting adalah pengetahuan alam sekitar.

SIKAP POSITIF

Semakin tinggi tahap pengetahuan, semakin positif tingkah laku belia terhadap usaha melestarikan alam sekitar. Individu yang mempamerkan sikap positif ke atas alam sekitar mudah untuk berinteraksi serta bertindak secara positif ke atas alam sekitar.

Tingkah laku pro alam sekitar ini akan memandu tindakan individu yang menyumbang kepada pemuliharaan alam sekitar atau sebarang aktiviti yang dapat melindungi alam semula jadi atau sekurang-kurang dapat mengurangkan kerosakan ke atas alam sekitar.

Bagi menarik keterlibatan golongan belia dalam isu pemeliharaan alam sekitar, dasar dan program sedia ada berkaitan kelestarian alam sekitar perlu mengikut rentak dan ragam golongan berkenaan.

Usaha memupuk kesedaran dan menarik minat kalangan belia terhadap kepentingan alam sekitar sering kali dilakukan pelbagai pihak berkaitan seperti mengadakan kempen kebersihan dan gotong-royong serta perkhemahan alam sekitar. Belia juga boleh bertindak sebagai Rakan Alam Sekitar dengan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dalam membantu menyalurkan maklumat dan aduan kepada pihak berkuasa berkaitan aktiviti yang merosakkan alam sekitar.

Semuanya usaha ini penting dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran belia bahawa menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Natijahnya, belia perlu dididik dan didedahkan dengan amalan dan kaedah untuk hidup secara lestari supaya pendidikan lestari menjangkau sempadan minda, dijiwai dan meresapi jiwa sehingga ia menjadi budaya dan amalan hidup mereka.

Diharapkan dalam jangka panjang apabila golongan belia telah mempunyai minda dan sikap lestari kelas pertama, kualiti alam sekitar di negara ini akan bertambah baik. Dengan adanya institusi kerajaan yang mantap serta sokongan dan kerjasama daripada golongan belia yang prihatin, pastinya pelbagai isu berkaitan alam sekitar dapat ditangani dengan lebih baik dan berkesan.

*Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca