SHAH ALAM - Ahli keluarga perlu bertanggungjawab untuk menghantar penagih dadah ke pusat pemulihan sebelum berlakunya perkara tidak diingini.
Pakar Kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim menegaskan, ahli keluarga tidak perlu rasa malu dikecam masyarakat kerana perbuatan ‘menyorokkan’ penagih mengundang bahaya kepada orang terdekat.
"Jika ibu, ayah, adik-beradik atau saudara-mara rasa malu untuk serahkan ahli keluarga yang jadi penagih ke pusat pemulihan, mintalah bantuan daripada agensi berkaitan untuk ambil mereka.
"Malu itu boleh mendatangkan mudarat, perkara ngeri seperti itu boleh berlaku lagi. Jadi mahu atau tidak, ahli keluarga perlu bertanggungjawab menjaga keselamatan dan pulihkan penagih sebelum menyesal pada kemudian hari,” katanya.
Sabtu lalu negara dikejutkan dengan berita seorang wanita berusia 56 tahun maut dipenggal oleh anaknya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor.
Shahul Hamid berkata, penagih dadah tidak akan teragak-agak untuk bertindak agresif jika kemahuannya tidak dipenuhi.
"Ada rangsangan dalam diri mereka dan seterusnya lakukan tindakan luar biasa. Kalau tidak dapat apa yang dia hendak, akhirnya berlaku perkara begitu dan ahli keluarga menjadi mangsa kekejaman mereka.
"Justeru saya nasihatkan, bertindaklah segera kerana saya percaya ramai di luar sana yang masih lagi berdegil untuk hantar penagih dan ada yang sudah diugut oleh penagih ini,” katanya.
Dalam pada itu Shahul Hamid turut menggesa agensi berkaitan untuk lebih proaktif membanteras sindiket dadah yang masih berleluasa di Malaysia.
Katanya, sindiket dadah yang tumpas kebanyakannya melibatkan pengedar kecil-kecilan sahaja.
"Saya harap polis, agensi dadah dan yang berkaitan terus berusaha keras membanteras pengedaran dadah. Tangkaplah tauke dadah yang besar agar negara kita bebas daripada najis itu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca