SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dakwaan pembabitan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor yang dituduh melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin berkata, perkara itu diketahui selepas menerima satu salinan laporan kes terbabit daripada nombor telefon tidak dikenali sejak semalam.
Badrul Hisham yang dikenali sebagai Chegubard percaya penyebaran salinan laporan polis berkenaan adalah satu komplot dirancang pihak tertentu kerana nombor telefon bimbit berkenaan gagal dihubungi selepas itu.
"Saya juga sudah hubungi Rasman Ithnain (ADUN Sedeli yang dikaitkan) dan cuba faham duduk sebenar perkara. Ternyata Rasman bersikap cukup terbuka, tenang dan sedia bekerja sama dengan siasatan polis. Dia menyatakan ia fitnah kerana semua kejadian dimaksudkan dia punya alibi dan saksi.
"Saya sendiri hubungi beberapa saksi hari kejadian yang dimaksudkan dalam laporan polis. Ternyata laporan tersebut fitnah dan beberapa orang saksi yang dihubungi menyatakan kesediaan untuk buat laporan balas namun saya nasihatkan dapatkan nasihat peguam terlebih dahulu," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Mengulas lanjut, Badrul Hisham berkata, Bersatu Johor akan berdiri teguh dan terus memberikan sokongan moral kepada Rasman kerana percaya kes berkenaan adalah satu fitnah dan konspirasi politik.
"Bagi saya, kami berdiri teguh dan yakin ia satu fitnah. Saya kenal Rasman secara peribadi. Namun menghormati lunas undang-undang dan meletakkan kepercayaan tinggi pada PDRM menyiasat dan menyelesaikan kes ini.
"Semua di minta berhati hati kerana fitnah dan serangan peribadi ini sudah menjadi alat politik. Malaysia punya undang-undang berkaitan laporan polis palsu - Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya," katanya.
Terdahulu, Rasman dalam satu kenyataan media menafikan tuduhan beliau melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.
Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi berkata, dakwaan wanita tersebut tidak benar sama sekali dan menyifatkannya sebagai satu konspirasi politik untuk mencemarkan reputasi beliau.
"Saya menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan tersebut dan menyatakan ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan merupakan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.
Berikutan itu, Rasman bersedia untuk memberi kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
Beliau juga telah berbincang dengan barisan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang cuba mencemarkan nama serta imejnya dengan cara seperti ini.
Klik di sini untuk terus membaca