SHAH ALAM - Tidak mustahil 'kegilaan' elit politik menuntut pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) bermula di Melaka dan Johor akan berterusan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya rakyat masih pasif dalam mengangkat idea reset politik negara.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, di sebalik defisit kepercayaan rakyat terhadap pemimpin politik semakin meningkat, sebilangan pemimpin UMNO masih berasakan mereka mampu mengembalikan dominasi politik kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagaimana sebelum PRU14.
Ujarnya, hal itu disebabkan keputusan beberapa PRN termasuk Melaka dan Sarawak seolah-olah menunjukkan sokongan rakyat sudah kembali kepada UMNO dan BN tanpa mengambil kira jumlah peratusan keluar mengundi yang begitu rendah.
"Faktor utama situasi sebegitu berlaku disebabkan golongan keluar mengundi terdiri daripada kelompok konvensional Melayu yang dipengaruhi doktrin UMNO serta mengamalkan sikap feudalistik dengan terlalu mengagungkan watak 'warlord'.
"Faktor kedua pula adalah disebabkan golongan cakna politik menyedari kepentingan negara melakukan reset politik, namun terlalu beremosi dengan sentimen anti berpolitik sehingga membawa kepada keputusan boikot pilihan raya.
"Meskipun tindakan protes ahli politik itu dianggap terbaik, mereka tidak sedar keputusan boikot pilihan raya akhirnya menyumbang kepada pengekalan semula pemimpin korup dan oportunis dalam landskap politik negara," katanya.
Beliau mengulas kemungkinan tuntutan pelaksanaan PRN Johor disusuli beberapa pilihan raya lain termasuk PRN Sabah.
Terdahulu, beberapa pemimpin UMNO termasuk Naib Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membayangkan pelaksanaan PRN Johor dalam masa terdekat mungkin tidak dapat dielakkan.
Hal itu kerana isu kestabilan kerajaan negeri yang sekadar bersandarkan majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus dianggap rapuh.
Bagaimanapun, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Setiausaha UMNO Johor, Samsolbahri Jamali menafikan parti itu mengadakan perbincangan bagi tujuan berkenaan dan menegaskan cadangan PRN Johor dalam masa terdekat hanya 'spekulasi'.
Di Sabah, desas-desus pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya atau kemungkinan PRN Sabah sedang bertiup kencang.
Perkara itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Raden bahawa parti sedang mempertimbangkan peletakan calon sekiranya DUN Bugaya diadakan dalam tempoh terdekat.
Muhammad Faiz berpandangan sebarang usaha kegilaan pihak tertentu menuntut PRN dan PRU15 hanya dapat dihentikan apabila seluruh rakyat negara ini bersatu menolak dominasi kelompok 'warlord' itu.
"Di peringkat kerajaan Pusat pula, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu cuba mempertahankan kelangsungan kerajaan sedia ada sehingga watak-watak pemimpin UMNO terpalit kes mahkamah, dijatuhkan hukuman setimpal.
"Selain itu, Naib Presiden UMNO itu harus berani membawa perubahan positif kepada parti beliau sendiri melalui kaedah mempercepatkan pemilihan parti," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Alsagoff berpandangan satu penelitian secara komprehensif perlu dilakukan bagi mengambil kira sama ada PRN Johor akan menyumbang kepada momentum kemenangan UMNO bagi menghadapi PRU15.
Jelas beliau, dengan pelbagai isu berlaku di peringkat Johor termasuk bencana banjir, pelaksanaan PRN dalam masa terdekat dibimbangi mencalarkan reputasi BN Johor selain menghakis sokongan pengundi terhadap parti itu.
"Dalam erti kata lain, kemenangan besar BN dalam PRN Melaka bukan satu indikator mutlak menunjukkan pelaksanaan PRN secara berterusan akan menjurus kepada kemenangan besar parti itu pada PRN akan datang.
"Banyak faktor pembolehubah lain termasuk kedudukan kerjasama parti-parti dalam kerajaan Ismail Sabri yang akan menentukan sama ada UMNO dan BN benar-benar mampu kembali bangkit menerajui negara," tegasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca