SHAH ALAM - Perubahan iklim yang menyebabkan cuaca ekstrem dan peningkatan suhu global bukan sahaja mengancam kesejahteraan bumi, bahkan turut memberi impak terhadap pelbagai kehidupan. Pengerusi Pusat Penyelidikan Langkawi, Institut Alam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perubahan iklim yang menyebabkan cuaca ekstrem dan peningkatan suhu global bukan sahaja mengancam kesejahteraan bumi, bahkan turut memberi impak terhadap pelbagai kehidupan.

Pengerusi Pusat Penyelidikan Langkawi, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Sharina Abdul Halim berkata, Intergovernmental Panel for Climate Change (IPCC) Working Group II Assessment Report 5 (2014) Chapter 24 Asia telah melaporkan peningkatan cuaca ekstrem akan mempunyai impak kepada kesihatan komuniti, sekuriti makanan, kesejahteraan kehidupan dan kemiskinan.

"Taburan hujan dan suhu yang meningkat akan memberi kesan kepada penyakit seperti denggi dan malaria. Peningkatan suhu pula boleh menyebabkan strok haba yang berlarutan, memberi kesan kepada kadar kematian bagi golongan yang mudah terancam.

"Peningkatan banjir dan kekurangan air pula akan menjejaskan komuniti yang bergantung kepada tanaman padi, hasil berkurangan dan menyebabkan kos hidup dan makanan tinggi,” katanya.

Ujarnya, di Malaysia, ada golongan masyarakat akan lebih terkesan dengan kesan cuaca ekstrem yang ada kaitan dengan perubahan iklim seperti gangguan bekalan air (kemarau hidrologi dan pertanian) serta banjir.

"Terdapat banyak kajian yang telah dijalankan untuk meneliti hal ini dengan lebih mendalam, khususnya kawasan di Pantai Barat, Semenanjung menunjukkan corak menaik terhadap kenaikan paras air laut.

"Selain itu, terdapat kajian yang mendapati sejak empat dekad yang lalu, kebanyakan kawasan di Malaysia mengalami suhu panas pada kadar antara 2.7-4.00/100 tahun.

"Impak terhadap situasi tersebut bukan hanya menjejaskan di peringkat individu malahan di peringkat negara secara keseluruhannya. Ia terutamanya di kawasan penempatan dan perbandaran di kawasan rendah dan delta yang mudah rentan terhadap ancaman kenaikan paras laut dan bahaya luruan ribut pantai seperti paras banjir lebih tinggi.

"Langkah persediaan dan kesiapsiagaan untuk menangani situasi ini amatlah penting. Seperti yang kita sedia maklum, banjir dan kenaikan paras air laut boleh menyebabkan kehilangan tempat tinggal dan kerosakan kepada infrastruktur,” jelasnya sambil menambah kesan perubahan iklim turut boleh menggugat kehidupan dan keadaan semasa berkaitan kemiskinan dan penyakit.

Ancaman lain

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian, negara telah mengalami banyak episod banjir pada skala dan intensiti berbeza yang semakin kerap selain kesan kekurangan air semakin dirasai.

"El Nino pada sekitar tahun 1997 dan 1998 misalnya berkaitan dengan gangguan bekalan air, juga membawa pelbagai cabaran seperti kebakaran hutan dan hutan tanah lembap akibat cuaca panas yang berpanjangan. Senario ini telah memberi kesan kepada kita seperti jerebu yang telah meningkatkan masalah kesihatan di segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Tegas Sharina lagi, stres berganda yang disebabkan oleh proses urbanisasi, industrialisasi, tuntutan pembangunan yang melampau juga akan memburukkan lagi kesan perubahan iklim.

"Untuk mengurangkan impak perubahan iklim, negara perlu mengurangkan jejak karbon, contohnya mengurangkan penggunaan kenderaan yang menggunakan sumber fosil kepada sumber tenaga boleh diperbaharui, memulihara kawasan dengan ‘green space, green zone’ yang akan memberi manfaat bersama termasuklah kesihatan awam.

"Perubahan gaya hidup ke arah yang lebih mampan dan tidak membazir juga penting untuk mengurangkan impak ke atas alam sekitar yang juga akan mempunyai kaitan ke atas perubahan iklim,” tambah beliau.

Klik di sini untuk terus membaca