BARU-BARU ini, tular video seorang pemandu lori terbabit kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan. Golongan netizen segera menuduh lelaki itu mabuk, khayal akibat dadah atau cuai memandu. Namun tidak lama kemudian pihak polis mengesahkan bahawa pemandu itu sebenarnya mengalami serangan jantung hingga mengakibatkan kemalangan dan telah meninggal dunia. Innalilah waina ilaihi rojiun.
Kemudian, timbul pula video seorang remaja dimandikan oleh para jemaah sebuah masjid seperti jenazah sebagai ‘hukuman’ kerana cuba mencuri wang dari tabung masjid. Maklumat awal yang diterima daripada remaja itu ialah dia cuba mencuri kerana hendak membeli ubat untuk datuknya. Sekali lagi para netizen memberi reaksi mengenai ketidakadilan jemaah masjid itu, mengkritik mereka serta menyuarakan rasa simpati kepada remaja itu
Namun berita seterusnya dari datuk remaja itu sendiri menceritakan hal yang berlainan. Terdapat juga pendedahan daripada orang kampung remaja itu sendiri mengenai perangai sebenarnya. Akhirnya, remaja itu telah dihukum oleh mahkamah tetapi imam masjid itu pula dipercayai telah meletak jawatan. Lihatlah betapa kita menghukum tanpa mendapat maklumat lengkap.
Muncul juga isu yang mempertikaikan pembelian saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. Beliau didakwa memiliki saham dengan jumlah yang melampau.
Sekali lagi kita mendahului mahkamah dengan mengeji, mengata dan menghukum seolah-olah beliau telah bersalah. Padahal, mereka yang dalam politik, yang lebih maklum tentang tuduhan salah laku ini tidak pantas menghukum. Mereka hanya mendesak beliau meletak jawatan, ambil cuti serta membawa usul agar hal ini dibincangkan dalam Parlimen.
Sekiranya kita tidak suka seseorang itu mengambil tindakan undang-undang di tangan sendiri, mengapa pula kita mendahului mahkamah dengan terus menjatuhkan hukuman sebaik sahaja menerima berita yang tampaknya seperti melanggar undang-undang meskipun fakta-faktanya belum lengkap diperoleh?
Bekas Perdana Menteri Britain, William E. Gladstone terkenal dengan mutiara kata justice delayed is justice denied atau ‘pengadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan’. Saya juga berasa bahawa keadilan juga dinafikan sekiranya kita menyegerakan pengadilan untuk memuaskan hati agar yang dianggap salah itu segera dihukum. Takut-takut, tanpa kita sedari, kita menjadi ahli-ahli mahkamah kanggaru.
Mengapa pada hari ini kita terpengaruh untuk menjadi seseorang yang judgemental iaitu seseorang yang cepat menghukum kerana mempunyai su’u dzon iaitu prasangka terhadap orang lain? Keadaan masyarakat yang semakin terbuka dan buas menjadikan kita takut. Kita tidak mahu apa jua keburukan berlaku kepada orang lain itu tertimpa pula pada diri sendiri.
Lantas kita memberi reaksi untuk mengawal emosi diri. Namun, apabila kita menghebahkan pandangan kita kepada kalangan kenalan melalui media sosial, ia juga bertujuan untuk memberi amaran kepada mereka di samping berkongsi perasaan dan pendirian kita dengan mereka.
Namun pada waktu yang sama, banyak sekali berita diterbitkan oleh media profesional mahupun media bisnes telah disalut sensasi untuk meraih lebih banyak capaian. Ia menjadi formula algorithm semua media sosial sebagai strategi pemasaran mereka.
Lagi ramai mereka yang berkerumun ke media sosial mereka, lagi mudah mereka mendapat wang iklan daripada para peniaga.
Kita tidak boleh melompat dan melatah setiap kali mendapat berita yang disensasikan. Ia tidak adil buat mereka yang terlibat, mereka yang membaca reaksi kita, malah buat diri kita sendiri. Mujur kita bukannya Pak Menteri yang sentiasa diekori kamera dan mikrofon di sepanjang masa.
Jika tidak, mungkin kita menjadi bahan ketawa masyarakat apabila kenyataan kita yang spontan itu didapati pramatang atau tidak masuk akal itu menjadi sensasi hingga ke luar negara!
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca