SHAH ALAM - Pakar klimatologi antarabangsa melaporkan lebih 400 stesen cuaca di seluruh dunia telah memecah rekod suhu tertinggi pada tahun lalu. Maximiliano Herrera yang berpengalaman lebih 30 tahun mengumpul data cuaca berkata, walaupun... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakar klimatologi antarabangsa melaporkan lebih 400 stesen cuaca di seluruh dunia telah memecah rekod suhu tertinggi pada tahun lalu.

Maximiliano Herrera yang berpengalaman lebih 30 tahun mengumpul data cuaca berkata, walaupun tahun 2021 bukan tahun terpanas dalam sejarah dunia namun ia tersenarai di tangga kelima atau keenam.

Laporan turut menyebut, 10 negara iaitu Oman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kanada, Amerika Syarikat (AS), Maghribi, Turki, Taiwan, Itali, Tunisia dan Dominica telah memecah rekod atau menyamai rekod suhu tertinggi masing-masing.

Bandar Syracuse di Itali misalnya, merekodkan suhu 48.8 darjah Celsius pada bulan Ogos, tertinggi pernah direkodkan di Eropah sementara pada Julai suhu tertinggi 54.4 darjah Celsius telah dicatatkan di Furnace Creek, Amerika Syarikat (AS).

Herrera berkata, antara insiden paling menonjol tahun lalu adalah kejadian gelombang haba ekstrem yang melanda pantai barat AS pada bulan Jun dan Julai.

Malaysia bagaimanapun tidak disebut dalam laporan Herrera itu berikutan tidak mengalami suhu setinggi atau seteruk negara-negara terletak di hemisfera utara seperti AS dan Eropah.

Dalam pada itu, laporan analisis bebas oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) turut mendapati suhu purata global permukaan bumi pada tahun lalu terikat dengan tahun 2018 sebagai tahun yang keenam terpanas dalam rekod.

Menurut saintis di Institut Goddard untuk Kajian Angkasa (GISS) NASA di New York, suhu global pada tahun lalu adalah 0.85 darjah Celsius melebihi purata tempoh asas NASA.

NASA menggunakan tempoh dari 1951-1980 sebagai garis dasar untuk melihat bagaimana suhu global berubah dari semasa ke semasa.

Klik di sini untuk terus membaca