PESAN orang tua-tua, sediakan payung sebelum hujan. Ia nasihat yang baik. Tujuannya untuk mengingatkan kita, anak cucu mereka supaya sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi apa juga mungkin berlaku dalam hidup ini.
Peringatan yang lebih besar terdapat dalam Surah Yusuf, ayat 47-49:
"Nabi Yusuf berkata: Supaya kamu bercucuk tanam tujuh tahun lamanya sebagaimana biasa. Maka apa yang kamu tuai itu hendaklah kamu biarkan pada tangkainya kecuali sedikit sahaja untuk kamu makan. Kemudian setelah itu akan datang tujuh tahun yang sangat sulit. Ketika itu adalah waktu agar kamu habiskan simpanan terdahulu, melainkan sedikit untuk kamu simpan. Kemudian setelah itu datang tahun berikutnya, dilimpahkan buat manusia hujan yang cukup. Di saat itu, mereka memerah anggur.”
Banyak lagi pesanan dan peringatan lain yang diberikan kepada kita dalam pelbagai bentuk dan melalui pelbagai cara. Daripada ibu bapa di rumah hingga ke para guru di sekolah, daripada pengarang buku hingga ke penceramah agama dan pakar motivasi, semuanya jarang lekang daripada kata nasihat sedemikian rupa.
Tetapi bagaimana kalau yang turun itu hujan lebat yang disertai angin ribut? Payung mungkin terkoyak dan diterbangkan pergi. Bagaimana pula jika hujan itu turun tanpa henti selama berhari-hari sehingga mengakibatkan banjir sehingga tenggelam bumbung rumah? Apa gunanya payung dalam keadaan seperti itu? Ia bukan boleh dijadikan pelampung atau perahu. Hendak dijadikan pelindung daripada hujan pun sudah tidak ada maknanya. Apalah ertinya kepala tak kena hujan jika air banjir sudah sampai ke paras leher?
Jangan pula silap faham. Tidak ada salahnya dengan pesan orang tua-tua itu. Kita tetap perlu menyediakan payung sepanjang masa, bukan untuk berlindung daripada hujan semata-mata, tetapi juga daripada panas. Lebih-lebih lagilah jika kita ini jenis yang ‘acah-acah puteri lilin’. Jenis yang konon tak tahan panas, tetapi tahan pula telinga dikecam apabila siarkan foto dengan fesyen dan aksi-aksi panas di laman sosial.
Kita perlu sentiasa bersiap sedia. Mesti selalu beringat. Itu tuntutan kehidupan yang harus kita penuhi jika tidak mahu hidup menjadi lintang-pukang sekiranya ditakdirkan berlalu sesuatu secara tiba-tiba.
Tetapi ada ketikanya apa yang terjadi itu lebih daripada yang kita jangka. Lebih buruk lagi jika yang terjadi itu adalah apa yang tidak pernah disangka. Contohnya, tragedi tsunami pada 26 Disember 2004 yang mengorbankan kira-kira 250,000 jiwa di 14 buah negara, khususnya yang terletak di sekitar Lautan Hindi. Siapakah yang menyangka laut di Batu Feringgi yang selalunya nampak indah dan tenang dengan sekali-sekala melintas kelibat minah saleh berbikini ringkas boleh mengganas sedemikian rupa? Sama seperti pelancong di Phuket, nelayan di Kuala Muda, penghuni kawasan pantai di Sri Lanka dan banyak lagi tempat lagi, warga Acheh sama sekali tidak menduga bumi yang begitu mereka jaga daripada dosa dan noda turut dilanda ombak setinggi lebih 100 kaki yang membadai apa sahaja.
Kita juga tidak menyangka bahawa secara tiba-tiba Covid-19 muncul dan menyerang hampir setiap penjuru dunia tanpa belas kasihan. Sehingga artikel ini ditulis, iaitu 25 bulan selepas serangan pertamanya dikesan, virus itu telah ‘membunuh’ lebih 5.5 juta orang dengan 31,808 daripadanya adalah di negara kita.
Tsunami dan Covid-19 adalah dua perkataan yang sangat asing daripada kehidupan kita di Malaysia ini. Kalau jerami atau Nami di Kedah mungkin ramai orang tahu, tetapi bukan tsunami. Perkataan itu hanya diketahui oleh mereka yang belajar ilmu geografi dan yang rajin membaca atau menonton berita mengenai bencana alam di sana sini.
Virus pula mungkin ramai yang tahu sebagai punca pelbagai penyakit, kepada manusia, komputer dan telefon pintar. Secara umumnya kehadiran virus Covid-19 telah diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan. Pandangan itu hanya berubah selepas Covid-19 mula menyerang Wuhan.
Kerana kita tidak tahu apa dia tsunami dan apa dia Covid-19, maka kita tidak boleh dipersalahkan jika tidak cukup bersedia untuk menghadapinya. Demikian juga dengan banjir besar yang melanda beberapa negeri di Semenanjung pada Disember lepas. Malam Jumaat itu hujan turun, lebat. Tidaklah menjadi kesalahan jika saat itu kita semua sibuk menyediakan tempat tidur. Apakah lagi yang lebih nikmat selain daripada tidur dalam hujan lebat, lebih-lebih lagi pada malam Jumaat. Usahkan kita, bomoh dan ahli kaji cuaca pun tidak menyangka hujan lebat malam itu akan bertukar menjadi banjir besar.
Dunia sebenarnya sarat dengan sejarah kes-kes di luar jangkaan seperti itu. Gempa bumi, puting beliung, ribut taufan,banjir, letupan gunung berapi, pandemik, berlaku dari semasa ke semasa dengan pelbagai skala. Kes-kes yang menyebabkan payung yang kita sediakan menjadi seolah-olah tidak berguna, tidak kiralah betapa besar saiznya.
Berdepan dengan musibah dan malapetaka itu memang perkara sukar. Demikian juga dengan melaluinya. Ia menuntut kesabaran dan ketahanan yang luar biasa. Tetapi sebenarnya ada yang lebih sukar iaitu membina semula kehidupan selepas musibah itu berlalu.
Jangan lupa, manusia umumnya mudah lupa. Ketika itulah cabaran bermula, di mana kita perlu menghadapi segala-galanya secara bersendirian.
Untuk mendepani keadaan itu, perkara pertama yang harus diambil ingat adalah setiap musibah, biar sekecil mana sekalipun pasti membawa perubahan. Saiz perubahan itu mungkin berbeza; seorang yang kehilangan gigi sebab terkena penumbuk mungkin sekadar perlu membiasakan diri mengunyah dengan gusi buat seketika sebelum gigi palsunya siap, tetapi seorang yang kehilangan semua ahli keluarga dan perniagaan akibat pandemik sudah tentulah berdepan dengan siri perubahan yang lebih besar, lebih lama dan lebih menyakitkan.
Satu-satunya cara untuk membolehkan kita berdepan kedua-dua situasi itu adalah kesediaan menginsafi hakikat bahawa harus bersedia menyesuaikan diri dengan situasi baharu yang kita hadapi itu. Dan proses penyesuaian diri ini tidak boleh dilakukan jika kita tidak bersedia untuk berubah.
Memang ia tidak mudah. Tetapi jika kita berpegang pada firman ALLAH SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286 yang membawa maksud ALLAH tidak menguji seseorang itu lebih daripada kemampuannya, sudah tentu kita tidak goyah dengan perubahan yang berlaku itu dan tidak goyah juga untuk mengubah apa yang perlu.
Mengeluh dan meratap tentunya tidak akan menjadikan kita lebih baik. Apa yang patut dilakukan adalah menerima takdir itu, mencari hikmah di sebaliknya kemudian, apabila peluang untuk membina semula kehidupan terbuka, misalnya bagi kes pandemik Covid-19 ketika berada dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 sekarang ini, kita manfaatkanlah peluang itu dengan sebaik-baiknya.
Lipat gandakan usaha. Jika dahulu bekerja lapan jam sehari, sekarang mungkin perlu bekerja sepuluh atau dua belas jam bagi menebus dua tahun yang hilang itu. Jangan pula dua tahun itu ditebus dengan cara melancong ke sana ke mari, keluar masuk kompleks beli-belah setiap hari. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca