SHAH ALAM - Majoriti tipis satu kerusi yang dimiliki kerajaan negeri Johor bukan alasan kukuh untuk membolehkan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam waktu terdekat.
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ketidakpercayaan kerajaan negeri terhadap sokongan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas itu tidak patut timbul kerana individu tersebut sudah berada bersama kerajaan hampir 20 bulan.
Malah katanya, Pakatan Harapan (PH) juga bersedia untuk menyokong kerajaan negeri bagi mengadakan Enakmen Anti Lompat Parti jika mereka benar-benar risau terhadap kemungkinan berlakunya ketidakstabilan ekoran daripada penarikan sokongan mana-mana ADUN.
"Itu (Enakmen Anti Lompat Parti) boleh dibuat serta merta. Saya rasa kita di sebelah PH tidak ada masalah untuk menyokong.
"Meskipun kerajaan hanya ada satu majoriti, ia bukan merupakan satu masalah kerana selama ini pun kita bekerja dengan satu majoriti. Contohnya kalau ada isu sangat penting seperti belanjawan, kita tidak bantah,” katanya yang juga merupakan ADUN Bukit Batu.
Beliau berkata demikian ketika dalam Wacana Sinar edisi ke-317 yang bertajuk ‘PRN Lagi: Pilihan Rakyat Atau Percaturan Politik’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis dalam program diacarakan oleh Nani Roslan ialah Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen dan penganalisis politik, Mujibu Abd Muis.
Jimmy Puah berkata, walaupun hanya memiliki satu majoriti, beliau tidak melihat bahawa kerajaan negeri mempunyai sebarang masalah berjalan dengan baik dan melaksanakan sebarang polisi atau dasar yang boleh membantu rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebagai pembangkang, PKR sememangnya mahu mengadakan PRN kerana ia memberikan peluang untuk pihaknya menjadi kerajaan.
"Tapi kenapa saya tidak mahu kali ini sebab suasana tidak mengizinkan dengan mengambil kira yang kita dah sebut banyak kali seperti masalah banjir, Covid-19 dan ekonomi,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa langkah untuk mengadakan PRN Johor dalam masa terdekat adalah tindakan yang membuang masa dan dan juga merugikan dari segi kewangan.
"Bagi saya memang buang masa dan bazir duit sebab kita pun faham tidak lama lagi mungkin dalam enam ke sembilan bulan PRU akan diadakan.
"Kalau kita buat sekarang, berpuluh juta akan digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk lakukan PRN ini. Bukankah duit ini lebih baik kita guna untuk bantu rakyat,” ujarnya.