PARIS - Kegagalan rundingan maraton bersama Rusia pada minggu lalu bagi mencari penyelesaian untuk meredakan ketegangan berhubung keselamatan Eropah Timur telah meningkatkan risiko serangan baharu Rusia ke atas Ukraine. Rundingan bilateral... Klik di sini untuk terus membaca

PARIS - Kegagalan rundingan maraton bersama Rusia pada minggu lalu bagi mencari penyelesaian untuk meredakan ketegangan berhubung keselamatan Eropah Timur telah meningkatkan risiko serangan baharu Rusia ke atas Ukraine.

Rundingan bilateral pertama antara Moscow dan Washington di Geneva gagal mencapai sebarang kesepakatan malah Amerika Syarikat (AS) memberi amaran tegas Rusia mungkin melancarkan operasi false flag beberapa minggu akan datang untuk melancarkan pencerobohan.

"Kami mempunyai maklumat yang menunjukkan Kremlin sudah menempatkan kumpulan operasi untuk taktik false flag di timur Kiev. Anggota kumpulan itu dilatih dalam peperangan bandar dan menggunakan alat letupan untuk melakukan tindakan sabotaj terhadap pasukan proksi Moscow,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki.

Ketika sesi dialog kedua bersama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels, wujud perbezaan yang jelas hingga menyebabkan rundingan itu berdepan jalan buntu dan ketidaksepakatan sama turut berlaku ketika perbincangan pusingan ketiga bersama Pertubuhan untuk Keselamatan dan Kerjasama di Eropah (OSCE) di Vienna.

"Peperangan mungkin berlaku akibat kebuntuan dalam ketiga-tiga rundingan tersebut malah Rusia dan AS masih mempunyai pendirian yang berbeza,” kata Timbalan Pengarah Pusat Eurasia Majlis Atlantik yang berpangkalan di AS, Melinda Haring.

Sementara itu, Pengarah Carnegie Moscow Center, Dmitry Trenin berkata, kegagalan mencapai penyelesaian diplomatik secara logik telah memburukkan lagi krisis tersebut yang menyaksikan penyelesaian tindakan ketenteraan dilihat sebagai satu-satunya jalan keluar.

Ketika ini, beberapa penganalisis turut menyuarakan kebimbangan tentang fasa seterusnya konflik itu kerana sukar untuk meramalkan tindakan yang mungkin diambil Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Penasihat Khas Foundation for Strategic Research (FRS) di Paris, Francois Heisbourg memaklumkan situasi sekarang benar-benar tidak menentu dan berisiko tinggi perang tercetus kerana Rusia dikatakan telah 'mengepung' Kiev dari tiga arah dan hanya menunggu arahan Putin untuk bertindak.

Walaupun Moscow mungkin memilih tindakan ketenteraan, ia dijangka tidak membawa kepada pencerobohan berskala besar ke atas Ukraine dan Putin berkemungkinan hanya bertindak balas dengan menempatkan misil di kawasan kumpulan pemisah pro-Rusia di wilayah Donbass atau Crimea seperti yang diramalkan penganalisis keselamatan terkemuka, Maxim Suchkov.

Sehingga kini, sumber risikan AS mendapati tiada keputusan muktamad diambil Rusia selepas ia didakwa mengerahkan ratusan ribu anggota tentera ke kawasan berhampiran sempadan Ukraine.

Moscow telah berulang kali memberi amaran kepada kuasa Barat tentang akibat buruk jika ia menyerang Kiev sekali lagi selepas konflik yang tercetus pada 2014 meragut kira-kira 14,000 nyawa.

Situasi yang tidak menentu itu dikhuatiri akan menyebabkan Rusia dan Barat berdepan krisis tidak pernah berlaku sejak Perang Dingin serta berkemungkinan memperkukuhkan lagi perkongsian Kremlin dengan China dan pakatan autokratik bersama rejim Belarus yang bersempadan dengan tiga negara blok Kesatuan Eropah (EU).

Ketika ini, Rusia cuba bermain tarik tali dengan meningkatkan tekanan untuk mendapatkan lebih banyak konsesi daripada Barat berhubung jaminan keselamatan di negara bekas Kesatuan Soviet.

"Senario campur tangan ketenteraan mungkin tidak berlaku kerana kos ketenteran, politik, kewangan dan kesan kepada orang awam turut diambil kira,” ujar Haring yang cuba untuk meredakan kebimbangan banyak pihak.

Pada Jumaat lalu, Ukraine menjadi sasaran serangan siber yang didakwa Barat telah didalangi Rusia dan dikhuatiri sebagai 'langkah permulaan' kepada pencerobohan ke atas Kiev. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca