SHAH ALAM – Penganalisis Politik, Mujibu Abd Muis berpendapat akta lompat parti perlu diperkasakan bagi mengelak wujudnya kerajaan tergantung.
Beliau berkata, tidak timbul pertikaian sama ada perlu bubar DUN atau tidak jika tiada wakil rakyat lompat parti.
"Kalau ada akta ini tidak akan timbul persoalan bubar atau tidak walaupun kerajaan itu berdiri di atas majoriti yang tipis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam Wacana Sinar edisi ke-317 yang bertajuk ‘PRN Lagi: Pilihan Rakyat Atau Percaturan Politik’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis dalam program diacarakan oleh Nani Roslan ialah Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros dan Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.
Menurutnya, pembubaran DUN akan ikut budi bicara Sultan dan DUN tidak boleh dibubarkan melainkan terdapat permintaan daripada menteri besar atau undi tidak percaya.
"Paling penting adalah aspek ‘timing’ diadakan pilihan raya yang dilihat boleh beri kelebihan dalam parti-parti tertentu,” katanya.
Mujibu berkata, pilihan raya wajar dilakukan untuk mendapat mandat rakyat yang boleh membawa kestabilan politik.
"Namun, harus ada perkara lain perlu dipertimbangkan, mengapa tidak boleh tunggu pilihan raya kenapa tak buat benda lebih fokus kepada rakyat,” katanya.
Katanya lagi, beliau yakin 80 hingga 90 peratus rakyat tidak bersetuju untuk diadakan PRN pada masa sekarang.
"Kenapa nak cepat-cepat PRN kalau PRU15 sudah semakin hampir? Kita boleh jimatkan masa dan wang. Kenapa tidak boleh tunggu detik itu?” katanya.