PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) ke-46, Joe Biden daripada parti Demokrat mula mengangkat sumpah jawatan itu pada 20 Januari 2021 pada usia 78 tahun dan merupakan Presiden tertua pernah memerintah AS dalam sejarah. Pada 20 Januari 2022,... Klik di sini untuk terus membaca

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) ke-46, Joe Biden daripada parti Demokrat mula mengangkat sumpah jawatan itu pada 20 Januari 2021 pada usia 78 tahun dan merupakan Presiden tertua pernah memerintah AS dalam sejarah.

Pada 20 Januari 2022, beliau akan memasuki tahun kedua memerintah negara itu berdasarkan kepada tahun Masihi tetapi adakah prestasi Biden yang kini berusia 79 tahun dianggap hebat semasa memegang jawatan tersebut ketika rating pemerintahannya ketika ini merosot dalam tinjauan-tinjauan pendapat di AS.

Sepanjang beberapa bulan pertama menduduki jawatan itu selepas menewaskan bekas Presiden, Donald Trump daripada parti Republikan, kebanyakan tinjauan pendapat menunjukkan majoriti pengundi meluluskan prestasi kerjanya.

Namun, apabila varian Covid-19, delta melonjak naik, rakyat AS semakin kecewa dengan mesej pentadbirannya mengenai keberkesanan vaksin.

Pada masa sama, inflasi dan harga pengguna meningkat, kesesakan rantaian bekalan serta kekurangan buruh telah mengurangkan kualiti perkhidmatan yang biasa digunakan oleh pengguna-pengguna di negara tersebut.

Sebelum ini, ketika pentadbiran Trump, Covid-19 dilihat berada dalam keadaan tidak terkawal apabila AS menduduki tangga pertama dari segi kematian dan bilangan jangkitan kes tersebut di dunia.

Bagaimanapun, semasa awal pemerintahan, parti Demokrat yang disertai Biden berjaya meminta Kongres AS meluluskan Rancangan Penyelamat bernilai $1.9 trilion (RM7.9 trilion), memulihkan ekonomi yang dilanda Covid-19 dan mencegah kesengsaraan yang lebih meluas selain mendapat sokongan kuat parti Republikan dalam meluluskan pakej infrastruktur melibatkan nilai kira-kira $1.2 trilion (RM5.02 trilion).

Namun, beliau menyebabkan AS malu besar di peringkat antarabangsa apabila pengunduran tentera negaranya berlaku dalam keadaan huru-hara dari Afghanistan pada Ogos tahun lalu yang menyebabkan ramai pengundi mempersoalkan keupayaan Biden untuk memimpin.

Justeru, purata tinjauan pendapat tentang kemampuan beliau memerintah di fivethirtyyight.com berada pada tahap rendah iaitu 42 peratus dan turun daripada 53 peratus baru-baru ini.

Penilaian keseluruhan pentadbiran Biden pula berada pada paras terendah sepanjang masa secara keseluruhannya iaitu pada 33 peratus dan mengenai isu-isu utama termasuk ekonomi pula ialah 34 peratus, dasar luar adalah 35 peratus serta wabak koronavirus 39 peratus, menurut tinjauan pendapat Quinnipiac baru-baru ini.

RANKING

Tinjauan pendapat tentang kelulusan pentadbirannya yang dilakukan oleh stesen penyiaran AS iaitu CNN baru-baru ini terus jatuh sehingga pada 42 peratus baru-baru ini.

Prestasi buruk itu meletakkan Biden masih berada terlalu jauh ke belakang berbanding senarai 10 Presiden AS yang terhebat dalam sejarah AS dalam tinjauan pendapat yang diadakan pada tahun 2021.

Menurut tinjauan pendapat C-Span yang dikeluarkan pada tahun lalu, Abraham Lincoln yang pada masa pemerintahannya membebaskan semua hamba abdi berkulit hitam menduduki tempat pertama sebagai Presiden AS paling hebat dalam sejarah AS.

Beliau merupakan Presiden AS yang ke-16.

LINCOLN - Stock Montage/Getty Images

Tempat kedua pula ialah Presiden pertama AS, George Washington dan tangga ketiga ialah Presiden AS ke-32 yang memerintah ketika Amerika berdepan zaman kemelesetan besar iaitu Franklin D Roosevelt manakala tempat keempat pula ialah Presiden AS ke-26, Theodore Roosevelt.

Tangga kelima ialah Presiden AS ke-34, Dwight D Eisenhower yang memerintah negara itu selepas Perang Dunia Kedua dan tempat keenam pula ialah Presiden AS ke-33, Harry S Truman yang mengetuai negaranya pada peringkat akhir Perang Dunia Kedua.

Tempat ketujuh pula ialah Presiden AS ke-3 iaitu Thomas Jefferson dan tangga kelapan pula ialah Presiden AS ke-35 daripada parti Demokrat yang menjadi Presiden paling muda dalam sejarah AS iaitu John F Kennedy.

Beliau menjadi Presiden ketika berumur 43 tahun tetapi mati ditembak oleh rakyatnya sendiri pada tahun 1963.

Tangga kesembilan pula ialah Presiden AS ke-40, Ronald Reagan daripada parti Republikan dan merupakan bekas pelakon serta menjadi Presiden paling popular di negaranya kerana pandai membuat jenaka selain membantu meningkatkan ekonomi negara termasuk mengurangkan inflansi.

REAGEN - Foto AFP

Tempat kesepuluh pula ialah Presiden kulit hitam yang pertama di AS dan yang ke-44 iaitu Barack Obama yang terkenal kerana pada masa pentadbirannya, Ketua Rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden mati ditembak oleh unit khas tentera negara Uncle Sam tersebut di Pakistan.

Ketika zaman pentadbirannya, Biden menjadi Naib Presidennya.

Adakah Biden boleh menempatkan sebagai antara 10 Presiden terbaik di AS sebelum penggal pertama pemerintahannya pertama berakhir pada Januari 2025?

Masa akan menentukannya. - Agensi

OBAMA - Foto AFP

Klik di sini untuk terus membaca