ALOR SETAR - Kerajaan disaran mewujudkan segera mekanisme kawalan harga berkesan dengan menguasai sekurang-kurangnya 20 peratus daripada bekalan barangan dalam pasaran untuk menstabilkan harga.
Pensyarah Kanan Perniagaan Antarabangsa, Sekolah Pengajian Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azwardi Md Isa berkata, kajian dan penguatkuasaan tidak lagi mampu membendung kenaikan harga barang, maka sudah tiba masanya kerajaan mempunyai ‘butang panik’ untuk digunakan ketika keadaan semakin meruncing.
Menurutnya, sebagai contoh mekanisme semak dan imbang mampu mengawal harga barangan sebagai langkah terakhir selain kajian, tindakan dan penguatkuasaan sedia ada.
"Cadangan National Feedlot Corporation boleh dijadikan model bagi tujuan itu. Agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) boleh dijadikan perintis dengan mewujudkan syarikat khusus penternakan dan pertanian.
"Telur, ayam, itik, daging lembu, sayur untuk rakyat dihasilkan oleh syarikat ini berlandaskan konsep ladang sejahtera yang dikenal pasti di setiap negeri untuk dibangunkan.
"Kita mempunyai sumber manusia, kecekapan dan teknologi setanding negara maju untuk laksanakan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, Rabu.
Mohd Azwardi berkata, menerusi kaedah tersebut, negara dapat menguasai rantaian pengeluaran bermula daripada benih sehingga beroleh hasilnya.
"Isu utama bukan penguatkuasaan undang-undang, penggubalan akta atau pemantauan. Kesemua itu telah dilakukan dengan baik oleh kerajaan melalui agensi terlibat.
"Namun, siapa yang menguasai harga barang? Adakah kenaikan berlaku selepas pandemik Covid-19 atau banjir besar atau sudah berlarutan sejak sekian lamanya,” ujarnya.
Tegasnya, kenaikan harga barang melonjak tidak mengikut kadar yang boleh diterima akal sehingga membebankan rakyat.
"Harga siling ayam RM9.10 bakal dinaikkan lagi, alasannya untuk wujudkan situasi menang-menang antara pembeli dan penjual. Telur ayam naik sehingga RM15 sepapan, pembekal mengurangkan bekalan kepada peruncit dengan alasan kenaikan harga dedak dan kematian ayam.
"Seterusnya kenaikan harga melibatkan sayur. Pemilik kedai makan di kampung juga mengeluh, ia amaran harga makanan siap dimasak pasti akan naik kerana mereka berniaga untuk kelangsungan hidup, bukan untung ratusan ribu sebulan,” jelasnya.
Akuinya, barangan dalam sektor pembinaan juga semakin tidak terkawal harganya.
"Ramai kontraktor kecil terutama bumiputera berdepan dilema bakal gulung tikar.
"Kesannya berantai, harga rumah pula bakal naik mendadak dan menyukarkan rakyat memiliki rumah sendiri. Episod kenaikan harga barang ini seperti tiada penyelesaiannya,” katanya.
Jelasnya, untuk wujudkan kuasa kawalan harga barang asas binaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) perlu melibatkan diri secara langsung dalam sektor pembinaan seperti kuari pasir dan simen.
"Pemilikan itu penting bagi menstabilkan harga pasaran. CIDB boleh meneroka, membangun atau membeli dan menguruskan kilang pasir serta simen,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca