SHAH ALAM - Tindakan pelajar yang mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama di sekolah berasrama menyebabkan mudahnya berlaku jangkitan Covid-19. Pakar epidemiologi dan kesihatan awam daripada Universiti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan pelajar yang mengambil ringan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terutama di sekolah berasrama menyebabkan mudahnya berlaku jangkitan Covid-19.

Pakar epidemiologi dan kesihatan awam daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sanjay Rampal berkata, ini kerana mereka mungkin berada di dalam kawasan yang sesak.

"Antara kawasan yang selalu menjadi tumpuan jangkitan adalah di kantin, tempat lepak, tandas dan bilik tidur.

"Kawasan ini mereka sentiasa gunakan, dan seharusnya pihak sekolah perlu memastikan kawasan tersebut sentiasa bersih,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Sanjay berkata, bagi sekolah harian pula, kadar jangkitan bergantung kepada kawasan dalam komuniti tersebut.

Menurut beliau, jika kawasan di sekitar komuniti terbabit mencatat kadar jangkitan yang tinggi, maka sekolah berkenaan berkemungkinan turut menjadi kawasan yang mudah untuk dijangkiti dan menjangkiti.

Dalam pada itu, Dr Sanjay berkata, ibu bapa atau guru harus memainkan peranan untuk mengenal pasti tanda-tanda awal pelajar yang sakit supaya mereka tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan penularan wabak.

"Malangnya, apa yang berlaku mereka yang sakit ini pergi ke sekolah dan ini memungkinkan berlaku penularan virus tersebut.

"Mereka seharusnya segera pergi membuat pemeriksaan kesihatan untuk mengesan penyakit mereka.

"Pihak sekolah juga boleh menyediakan jururawat bagi memantau kalau berlaku penularan atau kewujudan kluster,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga boleh mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi menangani Covid-19 di sekolah mereka.

"Jawatankuasa itu dapat memperkasa komuniti susulan penglibatan ibu bapa, guru dan pegawai perubatan dari klinik kesihatan daerah berhampiran.

"Jawatankuasa ini boleh bekerjasama untuk memikirkan atau memantau situasi di sekolah khususnya semasa pandemik ini,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai meminta pelajar melakukan ujian kendiri secara berkala untuk memastikan mereka tidak membawa virus ke sekolah.

Menurut beliau, pelajar yang diuji positif perlu mengelak daripada datang ke sekolah sebaliknya menjalani kuarantin yang ditetapkan.

"Tidak menghairankan apabila kita melihat peningkatan kes Covid-19 di sekolah memandangkan kadar penularan varian Omicron yang tinggi.

"Tambahan pula, mereka yang berumur lima hingga 11 tahun belum diberi vaksin dan lebih mudah dijangkiti dan kemudian menularkan penyakit,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Kar Chai berkata, pemvaksinan bagi mereka yang berumur antara 12-17 tahun telah mencapai 88.2 peratus (selesai 2 dos), jadi jangkitan dan penularan dalam kumpulan ini sepatutnya rendah.

"Walau bagaimanapun, terdapat isu pematuhan kepada SOP yang diperlukan untuk menguruskan wabak ini dan terpulang kepada pihak sekolah untuk memastikan pelajar serta guru mematuhi SOP.

"Denda mungkin bukan jawapan untuk kanak-kanak sekolah. Pendidikan dan kesedaran adalah cara untuk pergi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca