SHAH ALAM - Pembabitan 133 warga tempatan dan asing memburu hidupan liar yang dilindungi mengundang padah apabila kesemua mereka berjaya diberkas pihak berkuasa.
Berdasarkan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sepanjang tahun lalu, sebanyak RM31.9 juta rampasan direkodkan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesemua suspek tersebut telah dituduh di mahkamah.
Katanya, mengikut pecahan, suspek terdiri daripada 121 warga tempatan dan selebihnya warga asing membabitkan lima warga Kemboja, Myanmar (4), Indonesia (1), Pakistan (1) dan Thailand (1).
"Mereka ini telah disiasat dengan pelbagai kesalahan pemilikan dan penyimpanan hidupan liar, pemburuan, penyeludupan, pemilikan senjata api, pencerobohan hutan, pemilikan senjata api dan lain-lain kesalahan.
"Sepanjang siri operasi ini, kita telah mengesan 59 buah khemah pendatang asing tanpa izin (PATI) selain sebanyak 303 jerat telah dimusnahkan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, antara tindakan yang diambil adalah di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Akta Perhutanan Negara 1984 serta Akta Senjata Api 1960.
Abdul Kadir berkata, OBK 2021 ini merekodkan rampasan bernilai RM31.9 juta membabitkan spesies hidupan liar, senjata api, peluru, parang, kenderaan seperti bot dan motosikal selain peti beku.
Katanya, OBK merupakan satu operasi penguatkuasaan di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) yang telah dilaksanakan sejak September 2019.
"Operasi ini adalah kerjasama antara Perhilitan Semenanjung Malaysia dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Perbadanan Taman Negeri Perak dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” ujarnya.
Tegas Abdul Kadir, pihaknya akan teruskan penguatkuasaan untuk membanteras sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan mempertahankan spesies hidupan liar di Malaysia terutamanya spesies Harimau Malaya dari terus menjadi mangsa pemburuan dan ancaman kepupusan.
10 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob menzahirkan kebimbangan apabila negara berdepan risiko kepupusan harimau belang yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri dan pelbagai kementerian, jabatan serta agensi kerajaan jika tindakan segera tidak dilakukan bagi pemulihan Harimau Malaya.
Pada September tahun lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusifnya mendedahkan, bagi pemburu harimau belang atau Harimau Malaya, suspek biasanya akan datang ke kampung tertentu meronda dan meminta orang kampung salurkan maklumat berkenaan binatang liar itu.
Pemburu harimau itu wujud kerana nilai pada hidupan liar itu tinggi.
Biasanya penduduk kampung akan dibayar duit kopi RM50 kalau temui tapak sahaja dan bayaran itu boleh mencecah RM500.
Menerusi laporan khas itu, pelbagai spesies popular menjadi sasaran pemburu haram.
Antaranya, rusa, harimau, kijang, kambing gurun, beruang, gajah jantan dan tapir.
Klik di sini untuk terus membaca