KUALA LUMPUR - Banjir yang melanda Kuala Lumpur pada Disember lalu menyaksikan tambahan sebanyak 500 tan sampah dalam proses pembersihan selama dua minggu bermula 19 hingga 30 Disember lepas. Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Banjir yang melanda Kuala Lumpur pada Disember lalu menyaksikan tambahan sebanyak 500 tan sampah dalam proses pembersihan selama dua minggu bermula 19 hingga 30 Disember lepas.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Anwar Mohd Zain berkata, ia melibatkan peningkatan 60 tan sampah sehari daripada 2,000 tan kepada 2,060 tan.

Menurutnya, DBKL memperuntukkan sebanyak RM200,000 untuk sampah banjir meliputi kos pengurusan, logistik dan tenaga kerja di Kampung Kasipillay, Kampung Pasir, Tiong Nam, Kampung Kolam Air dan Kampung Periuk.

"Tempoh dua minggu diambil menerusi operasi pembersihan secara besar-besaran melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan sukarelawan.

"DBKL menggunakan seluruh aset dan peralatan sedia ada bagi operasi pembersihan, selain menyewa 16 lori untuk menghantar sisa banjir terus ke Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar,” katanya selepas lawatan ke tapak pelupusan itu pada Rabu.

Anwar (tengah) ketika hadir lawatan ke Tapak Pelupusan Sanitari Bukit Tagar pada Rabu.

Beliau berkata, Kuala Lumpur turut terjejas dalam kejadian hujan berterusan di Lembah Klang pada 17 dan 18 Disember lalu, namun faktor air surut dengan cepat menyebabkan kesannya tidak seteruk Selangor.

"Selain itu, DBKL mengambil langkah menghantar sampah ke Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin (SPTB) dan Bukit Tagar bagi mempercepat proses mengosongkan sampah di lokasi terjejas banjir.

"Ia bagi mengelakkan limpahan di pusat pemindahan sementara SPTB menyebabkan beberapa lori disewa untuk menghantar sampah terus ke tapak pelupusan Bukit Tagar," katanya.

Beliau berkata, Bukit Tagar yang beroperasi sejak tahun 2005 dibina khusus untuk menyelesaikan isu pelupusan sampah di Lembah Klang dan mampu bertahan 100 tahun lagi.

"DBKL menghantar sampah ke pusat pelupusan itu bermula April 2005 dan 90 peratus sampah dari Kuala Lumpur, manakala 10 peratus lagi dari Selayang dan Hulu Selangor,” katanya.

Untuk rekod, DBKL membelanjakan sebanyak RM100 juta setahun bagi kos pelupusan sampah di SPTB dan Bukit Tagar.

Klik di sini untuk terus membaca