SHAH ALAM - Pemburuan haram terhadap spesies haiwan bernilai tinggi antara punca utama kepupusan hidupan liar di negara ini, selain penerokaan hutan tanpa mengira dengan serius habitat dan pengekalan spesies hidupan liar.
Timbalan Presiden Zoo Negara Malaysia, Rosly @ Rahmat Ahmat Lana berkata, ia juga disebabkan habitat yang semakin terancam serta kawasan hutan yang semakin mengecil dan melalui proses fragmentasi.
"Faktor-faktor ini apabila digabungkan akan menjadi krisis yang serius terutamanya apabila hidupan liar mula keluar daripada habitat asalnya dan mengganggu kehidupan seharian manusia.
"Masalah kepupusan ini menjadi ancaman semenjak berlakunya pertambahan jumlah penduduk yang kian memerlukan pembangunan.
"Ia ditambah apabila kurangnya pembiakan dalam hutan yang menyumbang kepada penurunan angkanya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Rosly berkata, kerajaan perlu bekerjasama dengan pakar-pakar berkaitan dalam mencari jalan penyelesaian dalam isu kepupusan hidupan liar ini, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar memperluaskan kawasan warta bagi hidupan liar dan mewujudkan kajian terperinci mengenai program in-situ dan ex- situ merangkumi aspek kajian pembiakan.
"Saya melihat penubuhan badan khas bagi mengatasi isu ini secara jangka panjang merupakan tindakan tepat pada masa ini bagi menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani isu hidupan liar ini,” jelasnya.
Menurut Rosly, Zoo Negara berperanan dalam menjalankan program-program pendidikan dan kesedaran awam terhadap konservasi hidupan liar yang berterusan kepada orang ramai.
"Selain itu, proses pembiakan juga dilakukan bagi spesies-spesies tempatan bagi menggalakkan pertambahan.
"Terdapat 11 spesies hidupan liar yang kini dalam jagaan Zoo Negara iaitu Orang Utan Borneo, Gajah Asia, Tapir Malaya, Malayan Sun Bear (Beruang Matahari), Seladang Malaya, Milky Stork (Bangau Susu), Lesser Mousedeer (Kancil Kecil), White Handed Gibbon (Ungka Tangan Putih), Buaya False Gharial, River Terrapin (Tuntung Sungai) dan Harimau Malaya.
"Haiwan-haiwan ini kita berjaya kembangkan dan biakkan,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca