ERA hari ini dilihat sebagai satu tempoh yang tidak lagi membolehkan pentadbir negara memonopoli ilmu dan kebijaksanaan internet yang awalnya dicipta sebagai sumber maklumat.
Kini, ia telah bertukar menjadi senjata yang berkuasa mengubah landskap politik serta sosial sesebuah negara.
Perubahan landskap Malaysia kini membenarkan rakyat menyuarakan pendapat, isu ataupun kritikan di internet melalui media sosial kerana medium ini dilihat sebagai satu platform atau catatan berkaitan pendapat peribadi seseorang dalam olahan terhadap mana-mana isu sama ada berkaitan politik, ekonomi ataupun sosial.
Pada September 2021, Kementerian Komunikasi dan Multimedia merekodkan seramai 28 juta atau 86 peratus daripada penduduk negara ini sebagai pengguna media sosial.
Kemunculan blog dan vlog menyaksikan rakyat kini berperanan sebagai wartawan di mana mereka bebas menulis apa sahaja di fikiran tanpa melalui gatekeeper seperti di media arus perdana.
Fenomena ini telah meletakkan kuasa media pada tangan rakyat atau disebut kuasa netizen. Setiap pemilik telefon pintar kini sebenarnya memegang sebuah stesen televisyen dan akhbar dalam tangan mereka.
Dengan wujudnya pelbagai platform media sosial seperti Instagram, Facebook, YouTube, TikTok mahupun WhatsApp; semua topik disiarkan dan dikongsi mengikut cita rasa rakyat malah mereka sudah kurang percaya terhadap ketelusan laporan isu di media arus perdana.
Dalam keadaan ini, agensi kerajaan berkaitan yang mengambil tindakan menyekat kebebasan media sosial dilihat sebagai musuh yang cuba membantutkan suara rakyat.
Sejak 2018 hingga 2021, Malaysia telah bertukar tiga Perdana Menteri. Daripada kaca mata rakyat, penasihat-penasihat komunikasi yang dilantik juga gagal merangka strategi mampan pemimpin atau agensi kerajaan yang menyertai platform-platform media sosial dalam mencorak strategi komunikasi berkesan.
Portal rasmi dan juga akaun media sosial ditadbir secara protokol dengan memberikan ayat-ayat klise seperti ‘dalam siasatan’, ‘enggan mengulas lanjut’, ‘telah dimajukan ke jabatan berkenaan’ dan lebih teruk ruangan komen ditutup.
Lebih malang apabila pegawai-pegawai yang tidak minat disuruh buka akaun TikTok kononnya untuk lebih cakna dan mesra rakyat tetapi akhirnya membawa kepada kemunculan ‘Polis TikTok’ yang membuat posting memerli, melarang, siber buli dan pelbagai bahasa kasar, menghina serta mencaci pengguna TikTok lain.
Tanpa netizen sedar bahawa tindakan mereka sebenarnya boleh didakwa di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman maksimum denda RM50,000 atau boleh dipenjara jika komen berbaur hinaan, cacian, mempersendakan mana-mana pihak. Malah boleh dikenakan denda RM1,000 setiap hari selagi komen itu berada di media sosial.
Semua perkara ini sebenarnya berlaku mengikut kehendak netizen. Mereka memimpin perkembangan sesuatu isu untuk menjadi tular dan mendapat perhatian pihak berkuasa. Contohnya video Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Rina Harun menggunakan water jet mencuci koridor sekolah yang sudah sedia bersih menerima kutukan berjemaah oleh pengguna TikTok dan media sosial lain sehinggalah segala program beliau diserang dan menerima komen negatif.
Bukan mudah untuk mereka yang menjadi sasaran netizen bangkit semula. Kekuatan mental dan fizikal amat penting; sama seperti internet jika sebelum ini netizen gunakan sebagai pisau untuk membunuh maka kali ini manfaatkanlah internet sebagai pisau untuk mendapat makanan.
Netizen perlu bijak dalam menyuarakan pendapat terutamanya menerusi media sosial walaupun Malaysia adalah sebuah negara demokrasi. Ini kerana menerusi platform media sosial orang ramai bebas mengemukakan pendapat mereka tanpa sekatan dan ia boleh menimbulkan kekeliruan.
Kesimpulannya, kuasa media ketika ini bukan lagi sama seperti era mesin taip di mana pemimpin boleh beri arahan mengikut selera mereka. Kuasa media ketika ini kembali sepenuhnya kepada rakyat. Mereka menentukan hala tuju yang mereka mahu dengan menggunakan platform media sosial.
Media arus perdana pula tiada pilihan lain. Untuk kekal relevan mereka perlu berdiri sama tinggi dengan rakyat. Perlu mengetengahkan kehendak rakyat.
* Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, UiTM Cawangan Melaka
Klik di sini untuk terus membaca