KEPUTUSAN melewatkan pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selama setahun sehingga bulan Mei tahun 2018 menjadi antara punca utama kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang dan mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah.
Perkara itu didedahkan secara eksklusif oleh bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang kemudiannya menegaskan cadangan asal tarikh PRU14 ketika itu sudah ditetapkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara bulan Mei atau Jun 2017.
Wan Ahmad yang juga bekas Penasihat Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, turut mengesahkan dapatan kajian oleh puluhan badan pemikir politik tempatan sudah mengunjurkan BN bakal mencapai kemenangan besar sekiranya PRU14 diadakan pada tahun 2017.
"Bagaimanapun, kepimpinan kerajaan BN ketika itu sudah tersilap percaturan politik dengan mengharapkan Rang Undang-Undang (RUU) persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan terlebih dahulu sebelum PRU14 dilaksanakan.
"Kerajaan BN ketika itu merasakan mereka mempunyai kelebihan setelah RUU itu diluluskan, namun keputusan pilihan raya menunjukkan implikasi sebaliknya apabila mereka dihujani dengan pelbagai isu dan skandal besar termasuk 1MDB," katanya kepada Sinar Premium.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad percaya Najib dan kerajaan BN pastinya tidak dibebani dengan liabiliti moral politik selain masih mengekalkan kewujudan sebuah kerajaan stabil jika PRU14 diadakan mengikut rancangan asal.
Lebih malang, beliau menegaskan beban isu skandal 1MDB serta peralihan sokongan pengundi Melayu kepada pembangkang masih belum benar-benar 'panas' dan menarik perhatian rakyat sekitar bulan Mei dan Jun 2017.
"Situasi ini membuktikan keputusan pelaksanaan PRU haruslah bersandarkan kepada permasaan (timing) tepat di samping kerajaan perlu mengambil kira landskap politik yang sangat dinamik.
"Mungkin tahun ini sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri dan kerajaan sangat kukuh. Namun segalanya boleh berubah sekelip mata sekiranya kerajaan gagal membendung pembongkaran skandal demi skandal yang menjejaskan imej mereka," jelasnya.
PRU JULAI-SEPTEMBER
Mengambil pengajaran daripada peristiwa itu, Wan Ahmad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak mengulangi sejarah melewatkan pelaksanaan pilihan raya umum pada saat penerimaan positif rakyat terhadap BN memuncak.
Jelas beliau, bulan Julai hingga September 2022 adalah tempoh terbaik untuk PRU15 dilaksanakan Ismail Sabri memandangkan perjanjian memorandum kerjasama (MoU) gencatan politik dengan Pakatan Harapan (PH) sudah berakhir.
"Secara peribadi, saya melihat pelaksanaan PRU15 pada waktu bersesuaian merupakan solusi terbaik untuk dalam menyelesaikan krisis politik dan ekonomi negara.
"Saya turut berpandangan tuntutan UMNO dan BN kepada PRU15 segera adalah relevan mengambil kira sokongan rakyat terhadap parti itu semakin kukuh," ujarnya.
Tambahnya, kerajaan sedia ada tidak wajar menggunakan alasan Covid-19 untuk melewatkan PRU15 kerana SPR sudah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) terbaik untuk rakyat mengundi tanpa dibimbangi kesan penularan pandemik.
"Inilah masanya untuk Ismail Sabri menjadi seorang ahli parti yang taat setia dan bersama dengan parti dalam melaksanakan perkara terbaik untuk rakyat," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca