SHAH ALAM - Selepas sebulan tragedi banjir yang menenggelamkan puluhan kawasan di Lembah Klang, kebanyakan penduduk mengakui masih bergelut untuk kembali bangkit dan lebih parah masih ada yang menunggu bantuan kewangan dijanjikan. Sinar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas sebulan tragedi banjir yang menenggelamkan puluhan kawasan di Lembah Klang, kebanyakan penduduk mengakui masih bergelut untuk kembali bangkit dan lebih parah masih ada yang menunggu bantuan kewangan dijanjikan.

Sinar Harian yang dalam usaha menyiapkan laporan khas ‘Apa Khabar Sri Muda Selepas Sebulan’ menemui banyak kisah sedih terutamanya mangsa banjir berdepan masalah kewangan teruk.

Ada penduduk memaklumkan hanya menerima bantuan kerajaan Pusat RM1,000 dan kerajaan Selangor RM1,000, ada juga mangsa yang selepas 33 hari masih belum menerima apa-apa bantuan kewangan.

Wartawan Sinar Harian menyaksikan sendiri ada kediaman penduduk yang tidak ubah seperti rumah tinggal kerana wang simpanan dan bantuan yang diterima hanya mampu membeli mesin basuh dan membaiki kereta rosak yang kosnya mencecah RM10,000.

Seperti kebanyakan mangsa banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam Ratna juga terpaksa menanggung kerugian berpuluh ribu ringgit kerana harta benda yang rosak.

Menurut Nazir Masjid Taman Sri Muda, Harani Md Saad, sepanjang tempoh pascabanjir pihak masjid menerima aduan ramai penduduk setempat yang mengeluh bantuan kewangan dijanjikan lambat diterima.

"Aduan sedemikian banyak saya terima sehingga ke hari ini. Malah aduan paling kerap adalah berkenaan bantuan kewangan daripada kerajaan Selangor, Persekutuan dan Zakat Selangor.

"Ramai mengatakan ada rakan-rakan yang telah menerima bantuan tetapi mereka pula masih perlu menunggu sumbangan itu.

"Sebagai respons kepada aduan penduduk, pihak masjid hanya mampu membantu menyalurkan maklumat kepada pihak terlibat untuk tindakan lanjut,” ujar Harani yang juga salah seorang mangsa banjir.

Menurut Harani, 56, setakat ini dia sendiri hanya menerima bantuan tunai daripada Selangor Bangkit dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) masing-masing berjumlah RM1,000.

"Saya tetap bersyukur kerana masih lagi diberi kesempatan bernyawa walaupun kerosakan harta benda yang dianggarkan bernilai RM30,000,” ceritanya.

Laporan muka depan Sinar Harian yang menyingkap khabar mangsa banjir di Sri Muda selepas sebulan.

TUNGGU TUNAI JANJI

Sementara itu, seorang suri rumah, Ratna Harun memberitahu, beliau hanya menerima mesej daripada Pejabat Tanah Klang mengenai bantuan bencana sebanyak RM2,000 pada Khamis.

"Bayangkan 33 hari tunggu baru dapat bantuan kewangan, itu pun ramai lagi jiran saya yang belum mendapat apa-apa bantuan wang seperti yang dijanjikan.

"Kami masih menantikan janji bantuan kewangan lain sebab bayangkan bagaimana hendak baiki rumah, kereta dan lain-lain, yang cecah puluhan ribu ringgit,” katanya.

Ratna, 38, turut mendakwa bantuan kewangan yang diterima adalah tidak seragam apabila penduduk di beberapa tempat lain mendapat bantuan kewangan lebih besar.

"Ada juga saya dengar mangsa banjir di Bukit Lanchong menerima bantuan kewangan bernilai RM4,500, barangan elektrik dan sebagainya. Alhamdulillah, berita baik untuk mereka tetapi kasihanlah kami di sini masih ramai mengharapkan bantuan bencana,” ujarnya.

Ratna dan anak-anak dibawa ke kawasan selamat selepas kawasan kediamannya ditenggelami air pada Disember lalu.

PERLU DUIT

Dalam pada itu, seorang pesara, Wan Zakari Wan Ismail berkata, sehingga ke hari ini dia masih belum menerima bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

"Cuma ada bantuan daripada ahli keluarga dan sanak- saudara sahaja,” ujarnya.

Menurut Wan Zakari, 63, bantuan kewangan amat kritikal ketika ini untuk tujuan membaik pulih kediaman dan menggantikan kelengkapan rumah yang musnah.

"Saya amat memerlukan bantuan kewangan untuk tujuan membaiki rumah yang rosak akibat banjir. Selain itu, saya juga perlu membaiki kereta dan motosikal.

"Semua barangan rumah seperti perabot dan peralatan elektrik pula rosak dan tidak boleh digunakan lagi serta terpaksa dibuang,” katanya.

Senarai banjir-banjir besar pernah berlaku di Malaysia.

INFO - Bantuan kewangan banjir

* Bantuan Wang Ihsan (BWI)

- RM1,000 - untuk ketua isi rumah terjejas)

- RM10,000 - bantuan kematian untuk waris Malaysia)

* Sumbangan Pembelian Barangan Keperluan (RM2,500)

* Bantuan Baik Pulih Rumah

- Sehingga RM5,000

- Sehingga RM15,000 (untuk kerosakan serius)

- Sehingga RM56,000 (untuk rumah yang musnah)

* Rebat bil elektrik (100% bagi bulan Disember 2021)

* Rebat beli barangan elektrik RM500

* Bantuan Selangor Bangkit

- Bantuan RM1,000

- Bantuan RM10,000 untuk keluarga waris meninggal dunia

* Lembaga Zakat Selangor

- Bantuan RM600

Klik di sini untuk terus membaca