SHAH ALAM - Tiga hari lalu genap sebulan tragedi banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan di Lembah Klang dengan Taman Sri Muda di sini antara yang paling teruk dilanda bah. Pelbagai hujah dan teori dikemukakan bagaimana Sri Muda boleh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiga hari lalu genap sebulan tragedi banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan di Lembah Klang dengan Taman Sri Muda di sini antara yang paling teruk dilanda bah.

Pelbagai hujah dan teori dikemukakan bagaimana Sri Muda boleh tenggelam dalam sekelip mata.

Tidak dinafikan hujan lebat berterusan adalah antara faktor utama banjir terjadi namun menurut jurutera awam profesional, Datuk Ir Hanapi Mohamad Noor, terdapat faktor lain sebagai penyumbang.Hanapi menjelaskan, pada asalnya Sri Muda dibangunkan di atas kawasan tanah yang rendah topografinya iaitu bersebelahan Sungai Klang yang sesuai dijadikan dataran banjir dengan paras tanah hanya sekitar 1 meter hingga 1.5 meter di atas paras purata aras air laut.

Hanapi Mohamad Noor

"Walaupun tapak pembangunan telah ditambak tetapi paras pembangunannya masih rendah di sekitar 3 meter atas purata aras laut sedangkan rekod paras banjir sebelumnya ada yang melebihi 4 meter,” ujar Hanapi kepada Sinar Harian.

Ini bermakna sekiranya hujan lebat dan paras air Sungai Klang melebihi 3 meter maka secara logiknya banjir akan berlaku di Taman Sri Muda.

Tambah Hanapi yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Hidrologi Malaysia, aliran air Sungai Klang di lokasi Taman Sri Muda datang dari satu kawasan tadahan yang luas melebihi 1,110 kilometer persegi iaitu meliputi kawasan Hulu Klang, Batu, Gombak, Ampang, Kerayong dan Damansara.

Keratan rentas menunjukkan paras banjir di Taman Sri Muda pada 19-21 Disember tahun lalu. - Foto Global Water Consultants Sdn Bhd

"Dengan terbinanya Empangan Klang Gate pada tahun 1958 dan Empangan Batu pada 1984 dianggarkan lebih 10 peratus aliran air yang sebelum ini mengalir terus ke Sungai Klang dari kawasan tadahan telah dapat ditakung.

"Bagaimanapun pada 18 Disember 2021, sebahagian air dari kedua-dua empangan ini telah dilepaskan kerana telah mencapai paras bahaya demi menjaga keselamatan empangan.

"Aliran tambahan dari pelepasan air Empangan Batu dan Empangan Klang Gate ini turut menyumbang kepada penambahan aliran air Sungai Klang di Taman Sri Muda,” katanya lagi.

Dalam pada itu, fenomena air pasang besar yang berlaku pada pertengahan bulan Disember 2021 juga telah menyebabkan pertembungan antara aliran air yang turun dari kawasan tadahan Sungai Klang dan aliran air pasang dari laut.

PERLU DITAMBAK

"Pertembungan aliran air ini telah menyebabkan kenaikan mendadak paras air Sungai Klang di lokasi Taman Sri Muda yang menyebabkan air Sungai Klang melimpah dari tebing sungai,” katanya.

Tambah beliau, untuk membangunkan kawasan rendah seperti di Taman Sri Muda dengan perumahan, ia perlu ditambak ke paras yang tinggi melebihi 4 meter iaitu lebih tinggi daripada rekod paras banjir sebelumnya yang tentunya memerlukan banyak tanah dan kos pembangunan yang tinggi.

Sekiranya paras pembangunan tidak cukup tinggi maka ia memerlukan infrastruktur tambahan mencegah banjir seperti kolam takungan yang besar, pintu air, pam saliran berkapasiti tinggi, meninggikan tebing sungai dan sistem saliran dalaman yang efisien.

Situasi banjir di sekitar kawasan Sri Muda, Shah Alam yang ditenggelami air akibat banjir kilat ketika tinjauan 19 Disember lalu. - Foto Bernama

Menurut beliau, selepas banjir di Sri Muda pada tahun 1995, kerajaan menerusi JPS telah membina projek tebatan banjir melibatkan pembinaan ban sungai, kolam takungan, pintu air dan pam.

"Namun infrastruktur pencegahan banjir yang dibina beberapa tahun selepas banjir besar tahun 1995 itu direka bentuk untuk kejadian banjir dengan tempoh ulangan kurang dari 100 tahun.

"Contohnya tebing sungai telah ditinggikan dengan pembinaan ban sungai ke paras purata 5 meter melebihi paras banjir sebelumnya.

"Semakan yang dibuat daripada rekod kejadian banjir JPS tidak menunjukkan sebarang kejadian banjir besar kecuali banjir kilat berpunca daripada masalah saliran tempatan sehinggalah kejadian pada 18 Disember 2021,” katanya lagi.

Pintu kunci air di Taman Sri Muda.
Klik di sini untuk terus membaca