KETEPATAN masa, kecekapan dan kemampuan mematuhi deadline ialah antara intipati kejayaan dalam bidang kejuruteraan. Dalam hal ini, jurutera China diakui terbaik dalam mematuhi tiga aspek tersebut. Terbaru, portal atas talian The South China... Klik di sini untuk terus membaca

KETEPATAN masa, kecekapan dan kemampuan mematuhi deadline ialah antara intipati kejayaan dalam bidang kejuruteraan. Dalam hal ini, jurutera China diakui terbaik dalam mematuhi tiga aspek tersebut.

Terbaru, portal atas talian The South China Morning Post (SCMP) pada 16 Januari lalu, menyiarkan berita kejayaan saintis China membina kemudahan penyelidikan ‘bulan tiruan’ yang dilapor akan membolehkan mereka mensimulasikan persekitaran graviti rendah. Kemudahan tersebut yang ditetapkan dilancarkan secara rasmi tahun ini, akan menggunakan medan magnet kuat dalam ruang vakum lebar 60 sentimeter bagi ‘menghilangkan’ tarikan graviti bumi.

Inilah dinamakan kejayaan mematuhi deadline. Pada 2 November 2018, penulis menulis tentang kejayaan saintis China merancang melancarkan ‘bulan tiruan’ ke orbit menjelang 2020 untuk menerangi bandar pada waktu malam. Bulan buatan manusia tersebut terletak di atas bandar Chengdu, ibu kota Wilayah Sichuan, China tanpa menggunakan lampu jalan. Pada asasnya, bulan tiruan itu disaluti lapisan pemantul bagi memantulkan cahaya dari matahari ke bumi.

Projek tersebut memberi penjimatan AS$174 juta (RM729 juta) setahun kepada bandar Chengdu. Paling menarik, pihak berkuasa di bandar Chengdu turut memikirkan kesan pencahayaan daripada bulan tiruan terhadap tabiat tidur manusia dan binatang.

Kini, tidak sampai tiga tahun, pasukan penyelidik China diketuai Dr Li Ruilin daripada China University of Mining and Technology (CUMiT) berjaya mencipta kemudahan makmal penyelidikan di bumi yang dilengkapi tarikan graviti satu per enam atau 1.63 meter per saat kuasa dua daripada nilai graviti di bumi. Ia mensimulasi tarikan graviti bulan.

Apakah kepentingan kejayaan terbaharu ini? Ia membolehkan sistem resapan tarikan graviti bumi direka bentuk itu mengawal nilai kesan tarikan graviti. Ia pencapaian pertama di dunia dan kejayaan berkenaan sangat penting untuk kegunaan penyelidikan berkaitan misi jelajah ke bulan pada masa depan.

Ruilin percaya kejayaan terbaharu itu akan membolehkan China menguji secara meluas program pembangunan teknologi penerokaan ke bulan. Ia juga membantu saintis menyelesaikan kelemahan teknikal dan menguji ketahanan peralatan instrumentasi serta mengurangkan kos penyelidikan yang tinggi sebelum penggunaan misi sebenar di bulan.

AI ATASI BANJIR

Kembali merenung realiti di Malaysia. Kejayaan terbaharu itu sedikit sebanyak meresap ke dalam jiwa Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor. Keresahan yang membelenggu penduduk di Taman Sri Muda angkara musibah banjir besar pada akhir Disember 2021, menuntut pembaharuan ketara kepada Zamani.

Penulis tabik kepada Zamani yang bingkas membentuk think tank melibatkan sekumpulan saintis dan jurutera untuk mengkaji serta mencari solusi mengatasi lautan perangkap di Taman Sri Muda. Zamani dikatakan sangat terpukul apabila membaca ulasan Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pengisian Sinar Harian, Rozaid Rahman yang disiar pada 3 Januari lalu.

Tajuk artikel tersebut ‘Apa solusi kerajaan untuk atasi masalah banjir?’ mencabar minda Zamani. Zamani percaya articifial intelligence (kecerdasan buatan) boleh menjadi salah satu solusi bagi menyelesaikan masalah ‘lautan perangkap’ di Taman Sri Muda.

Penulis dipilih mewakili Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Shah Alam untuk menganggotai think tank Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi mencari solusi masalah banjir di Taman Sri Muda dan kawasan lain di Shah Alam.

Sebenarnya, ALLAH SWT telah menyampaikan permasalahan ini menerusi Surah Al-Jin ayat 72:8-10 bermaksud: "Dan, sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api; Dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya); Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (adakah dengan adanya kawalan langit yang demikian itu) hendak menimpakan bala bencana kepada orang di bumi atau kah Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?”

Penulis optimis dengan gerakan terbaharu Zamani. Penulis percaya jurutera harus mencari idea yang bernas untuk mengekang permasalahan banjir di Taman Sri Muda.

Kesimpulannya, mematuhi deadline dan mencari solusi ialah satu usaha yang berterusan dan konsisten dalam kalangan jurutera. Kita harus mencontohi kebijaksanaan saintis China yang tidak pernah mengenal erti penat lelah untuk mencetus kejayaan demi kejayaan!

* Profesor Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Selangor Technical Skills Development Centre Selangor

Klik di sini untuk terus membaca