SEORANG suri rumah, Maira Tayyab terfikir mungkin dia terpaksa meminta sedekah bagi membolehkan dia menyediakan makanan buat keluarganya di Pakistan yang kini dilanda inflasi buruk. Seorang pemilik kedai pula, Muhammad Hanif terfikir-fikir dia mungkin terpaksa melakukan perbuatan jenayah untuk mendapatkan wang.
Muhammad yang mengusahakan sebuah kedai pembaikan bateri kereta kecil terpaksa memikirkan cara baharu untuk menyara keluarganya.
"Pemikiran seorang penjenayah menguasai saya tentang bagaimana saya mesti mencapai matlamat.
"Tetapi, saya takut kepada ALLAH, jadi saya mengenepikan fikiran itu," katanya.
Namun, Muhammad dan Maira akhirnya mengakui malu untuk mengikut gerak hati itu, namun kesengsaraan mereka turut dialami berjuta-juta rakyat Pakistan yang tidak berpuas hati tentang ekonomi negara.
Krisis ekonomi itu sekali gus mengancam peluang Perdana Menteri, Imran Khan untuk dipilih semula bagi memegang jawatan tersebut pada tahun depan.
"Kami tidak boleh meminta-minta kerana kami adalah orang berkolar putih," kata Maira iaitu suri rumah tersebut kepada AFP di Karachi iaitu sebuah bandar pelabuhan yang sibuk yang merupakan ibu kota kewangan Pakistan.
Namun, dia berkata: "Kami tidak tahu bagaimana kami mahu memenuhi keperluan."
Inflasi mencecah sekitar 10 peratus pada tahun lalu, menurut Bank Dunia.
Harga minyak masak naik 130 peratus sejak Khan mengambil alih kuasa dan kos bahan bakar telah meningkat 45 peratus menjadi 145 rupee (RM3.45) seliter dalam tempoh setahun.
Sentimen suri rumah itu turut dilalui Kursheed Sharif berusia 50 tahun yang merupakan seorang ibu kepada lima orang anak.
"Hanya kematian yang menjadi alternatif di bawah pemerintahan ini," katanya yang menangis di luar rumah sewaannya kepada AFP.
JANJI KHAN
Sebelum ini, Perdana Menteri itu berjanji akan menyingkirkan korupsi dan kronisme yang sudah berlanjutan selama puluhan tahun ketika parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) berkuasa pada tahun 2018.
Bagaimanapun, kegagalannya untuk melakukannya itu sudah dapat dirasakan pada pilihan raya tempatan dan pada bulan lalu, PTI benar-benar kalah dalam pemilihan wilayah di kubu kuatnya, Khyber Pakhtunkhwa.
"Pemerintah membanggakan prestasi ekonominya. Namun, realitinya, ia telah kehilangan gelombang dan kredibilitinya," kata Tauseef Ahmed Khan iaitu seorang aktivis hak asasi dan pengulas politik.
Khan telah berkempen untuk mewujudkan negara sejahtera Islam dengan cukai yang cekap terhadap perniagaan dan individu-individu membiayai projek sosial untuk memberi manfaat kepada orang miskin.
Bagaimanapun, penganalisis mengakui bahawa dia mewarisi kekacauan dan pandemik Covid-19 tidak membantu tetapi polisinya tidak banyak mengubah keadaan di Pakistan.
"Tidak ada yang stabil," kata Rashid Alam, yang bekerja di sebuah bank antarabangsa di Karachi.
"Peningkatan pengangguran, peningkatan inflasi. Inilah realiti politik dan ekonomi di Pakistan," tambahnya.
HUTANG
Mata wang negara itu, rupee telah kehilangan sejumlah nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak bulan Julai tahun lalu manakala defisit perdagangan pula ialah AS$5 bilion (RM20.94 bilion) walaupun pengiriman wang tukaran asing daripada diaspora yang besar meningkat hampir 10 peratus menjadi AS$12.9 bilion (RM54.03 bilion).
Khan berjaya merundingkan pakej pinjaman Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bernilai AS$6 bilion (RM25.13 bilion) pada tahun 2019 tetapi hanya sepertiga yang dibayar setelah kerajaan gagal melaksanakan reformasi seperti dijanjikan termasuk mengurangkan subsidi pada pelbagai perkara penting lain.
Pakistan juga harus menerima keadaan yang menyakitkan seperti kenaikan harga petrol dan elektrik.
Namun, seorang ahli ekonomi bebas, Qaiser Bengali berkata, semua pinjaman yang dibuat Pakistan sekarang walaupun daripada sumber apa pun adalah untuk membayar pinjaman yang pernah dibuat pada masa lalu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca