SHAH ALAM - Pemimpin yang tidak mahir Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Bahasa Arab sehingga terpaksa mencampur adukkannya dianggap sebagai pemimpin cap ayam.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran berkata, pemimpin seharusnya menjadi contoh yang terbaik terutama dalam aspek penggunaan bahasa kebangsaan.
"Masyarakat pada masa kini mereka sudah berubah dan inginkan kualiti.
"Jadi kalau masih ada pemimpin yang tidak mahir bahasa Melayu, Inggeris, sehingga terpaksa mencampur adukkannya bagi saya rakyat akan menolak mereka sebagai pemimpin yang tidak berkualiti atau dikenali sebagai pemimpin cap ayam.
"Ini sangat penting, bagi saya pemimpin seharusnya menjaga aspek tersebut sebab ia dinilai oleh masyarakat sama ada pemimpin yang baik atau cap ayam,” katanya dalam program Sinar Live yang bertajuk Bahasa Rojak: Rancak Tapi Perosak pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia seharusnya menjadikan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dalam menyampaikan hujah atau debat mereka menggunakan bahasa yang tidak dicampur aduk.
"Jadi pemimpin-pemimpin kita seharusnya menjadi contoh terbaik dalam penggunaan bahasa Melayu, atau apa-apa bahasa sekalipun.
"Tetapi dalam konteks rasmi mengikut Perlembagaan, bahasa Melayu harus diutamakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Sallehuddin berkata, penggunaan bahasa rojak dalam bahasa harian atau majlis rasmi menunjukkan seseorang itu lemah dari sudut penguasaannya.
Menurutnya, penggunaan bahasa rojak itu dilihat sebagai jelek dan tiada keindahan.
"Bagi saya orang yang menggunakan bahasa rojak ini dia ada masalah, dia tidak menguasai bahasa Inggeris sebenarnya, sehinggakan dia terpaksa mencari perbendaharaan kata dalam bahasa lain.
"Ini bagi saya ia menunjukkan kelemahan untuk menggunakan bahasa Inggeris dengan baik dan kadang-kadang mereka merasa melihat golongan ini tidak boleh berbahasa dengan baik, tidak dianggap tinggi dan orang bermasalah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya penggunaan bahasa itu diluar konteks rasmi tidak mengapa namun ia tetap membimbangkan sekiranya terbawa-bawa kepada majlis rasmi.
"Bahasa rojak ini kalau tidak digunakan dalam bahasa rasmi bagi saya tidak ada isunya.
"Cuma kita khuatir sekiranya sudah menjadi kebiasaan sesetengah orang ia boleh terbawa-bawa dalam penggunaan konteks rasmi.
"Justeru DBP menegaskan seperti yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan arahan-arahan daripada kerajaan supaya dalam konteks rasmi, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa kebangsaan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, bahasa melayu telah membuktikan sebagai bahasa ilmu mengikut sejarah pendidikan dalam negara.
"Saya bagi contoh dalam sistem pendidikan sejak tahun 1970 sekolah kita sudah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah.
"Dan kalau kita lihat sekarang ini yang bertugas di hospital, jurutera semuanya semuanya kita lahirkan melalui sistem pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu. Jadi adakah mereka tidak ada kualiti? Tidak,” jelasnya.
Tambah beliau, bahasa Melayu mempunyai nilai ekonomi tersendiri yang seperti produk negara yang berada di pasaran luar negara.
"Produk-produk dalam bahasa Melayu ada nilai ekonomi, kita lihat kawan kita yang menerbitkan filem dalam bahasa Melayu, sudah menjadi jutawan.
"Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang boleh kita banggakan sebagai penyanyi yang menyanyi lagu bahasa Melayu menjadi orang yang sangat berjaya.
"Jadi maknanya, kita ada ruang, peluang menggunakan bahasa Melayu untuk meningkatkan ekonomi dan ini sangat penting untuk dilakukan,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca