KETAKUTAN berlaku terutamanya dalam kalangan penduduk di Jalalabad iaitu sebuah bandar di timur Afghanistan berikutan serangan-serangan yang dilakukan oleh kumpulan Daesh dan kebimbangan itu juga muncul ekoran kemunculan misteri mayat-mayat di sungai-sungai.
Apabila tiba pada waktu petang, penduduk di bandar perdagangan yang terletak di wilayah Nangarhar akan bergegas pulang ke rumah masing-masing sebelum malam menjelma.
Ini kerana mereka takut dengan Daesh dan serangan balas yang dilakukan oleh Taliban ke atas kumpulan tersebut.
Suatu ketika dahulu, Daesh pernah menjadi kuat di Afghanistan.
Namun, para penganalisis menyatakan ia semakin aktif sejak Amerika Syarikat (AS) bersetuju untuk mengadakan perjanjian pada tahun 2020 dengan Taliban bagi menarik tentera asing dari negara itu.
Pejuang-pejuang fundamentalis yang menentang sikap berkompromi dengan pihak Barat itu dipercayai memiliki sekitar 2,000 hingga 4,000 pejuang di Afghanistan untuk melawan 80,000 anggota Taliban.
Perbezaan ideologi terbesar antara kedua-dua kumpulan itu adalah Taliban hanya berusaha untuk menjadikan Afghanistan bebas daripada pengaruh kuasa asing sedangkan Daesh mahukan pemerintahan khalifah Islam yang terbentang dari Turki ke Pakistan dan seterusnya.
Kumpulan itu menjadi kuat apabila Taliban menguasai negara tersebut dan membebaskan ramai para pejuang Daesh, kata Ibraheem Bahiss iaitu seorang pakar Afghanistan untuk sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu International Crisis Group.
Sejak itu, kekerasan terhadap Taliban meningkat walaupun mereka berusaha untuk mengatasinya, kata Bahiss.
Bagaimanapun, Ketua Perkhidmatan Perisikan Taliban di wilayah Nangarhar yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Bashir menolak ancaman daripada kumpulan tersebut.
Daesh tidak lagi wujud di bandar atau seluruh wilayah ini, kata pegawai itu.
Namun, di jalan-jalan di Jalalabad, para pejuang Taliban memberikan gambaran yang berbeza.
"Sekurang-kurangnya terdapat satu serangan seminggu," kata seorang pemimpin sebuah unit Taliban yang mahu dikenali sebagai Sajjad sambil berkata bahawa anggota-anggota unitnya berada dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang masa.
Penyerang-penyerang itu, katanya kepada AFP, datang seramai dua atau tiga orang menaiki beca bermotosikal menembak mereka dengan raifal Kalashnikov atau pistol.
Menurut Abdul Sayed iaitu seorang ahli akademik yang mengkhususkan diri dalam pengkajian mengenai rangkaian jihad, kumpulan tersebut bertanggungjawab ekoran berlakunya hampir 100 serangan sejak pertengahan September tahun lalu.
Katanya, kira-kira 85 peratus serangan berkenaan menyasarkan Taliban.
Bagaimanapun, serangan paling berdarah adalah letupan bom bunuh diri yang berlaku di sebuah lapangan terbang antarabangsa Kabul ketika puluhan ribu penduduk Afghanistan berusaha untuk meninggalkan negara berkenaan ketika tentera AS berundur pada tahun lalu.
Lebih 200 orang terbunuh termasuk 13 anggota perkhidmatan AS dalam serangan pada 26 Ogos 2021.
Baru-baru ini, Taliban menyatakan telah menghantar 1,500 anggota untuk memperkuatkan bandar Jalalabad.
Pihaknya mengesan anggota kumpulan itu pada waktu siang dan malam, kata Sajjad.
Kira-kira 400 anggota Daesh telah ditangkap dalam beberapa bulan terakhir ini, kata Dr Bashir walaupun menambah beliau tidak mempunyai angka tentang jumlah mereka yang terbunuh.
Taliban pula dituduh secara diam-diam menyingkirkan musuh mereka itu.
Tidak jauh dari kampung Bakhtan, seorang pencuci beca memberitahu AFP bahawa dia telah melihat empat atau lima mayat.
Beberapa sumber pula mengatakan terdapat sehingga 150 mayat telah dijumpai di sungai.
Klik di sini untuk terus membaca