SEPANJANG minggu ini, spekulasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi topik hangat. Desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membuka laluan kepada PRN negeri itu dikhabarkan berlaku selepas sambutan Tahun Baharu Cina.... Klik di sini untuk terus membaca

SEPANJANG minggu ini, spekulasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menjadi topik hangat. Desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membuka laluan kepada PRN negeri itu dikhabarkan berlaku selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Kalau ia benar, maka PRN Johor akan menjadi PRN keempat selepas Sabah, Melaka dan Sarawak. Jika ditanya warga Johor, reaksi mereka mungkin serupa dengan jirannya di Melaka. Tak perlu diadakan PRN.

Jika di Melaka mungkin perlulah sebab majoriti kerajaan sudah hilang disebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melompat tetapi di Johor tidak berlaku. Kerajaan masih mempunyai kelebihan majoriti diperlukan (walaupun hanya dengan satu undi).

Maka, tiada isu hung assembly (DUN tergantung). Tambahan pula masih belum ada yang melompat. Untuk rekod, kedudukan semasa kerusi DUN menyaksikan pakatan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memiliki 28 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi. Satu kerusi masih kosong iaitu DUN Kempas.

Namun, kekosongan itu tidak perlu diisi disebabkan mandat Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) telah melepasi tempoh tiga tahun selaras dengan Fasal 23 (5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri yang menyatakan sedemikian.

Mandat PRU14 tinggal kurang lebih setahun setengah sahaja. Jadi, mengapa PRN masih mahu diadakan? Persoalan itu mungkin boleh dijawab dengan melihat pihak yang beruntung dengannya.

Siapa beruntung itu? Jika dirujuk kenyataan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Januari lalu mengakui, sekiranya PRN itu diadakan sekarang, ia memang akan menguntungkan kerajaan (baca: BN-UMNO) Maka, tidak hairanlah dalam banyak parti, hanya BN nampaknya beria mahu PRN diadakan.

Keputusan PRN Melaka menjadi penggalak (booster) buat BN mempercepatkan PRN. Motivasinya pula sudah tentulah mahu ‘membersihkan’ saingan politik dan memperbaharui mandat dengan cara bukan PRU.

PRN barangkali cara selamat BN untuk meninggalkan pakatan semasa dan secara perlahan menghimpit Bersatu sebagai parti saingan dalam pakatan politik yang bertindih terutama dalam konteks berkongsi kuasa di Johor.

Sebab itu, alasan ‘tidak selesa’ dengan kedudukan majoriti semasa dan mahu mengukuhkan kestabilan kerajaan digunakan untuk menjustifikasikan hal itu. Walhal di peringkat Persekutuan, kerjasama BN-PN masih berjalan tanpa sebarang masalah. Maka, alasan tersebut boleh dipersoalkan, kecualilah BN memang mahu membuang Bersatu daripada pakatan kerajaan.

Apa kelebihan lain buat BN jika PRN diawalkan? Pertama, peratusan keluar mengundi dijangka rendah. Pengundi luar terutama dari Lembah Klang mungkin tidak berminat untuk terlibat, apatah lagi dengan sempadan yang kembali ditutup akan menghalang mereka yang berada di Singapura pulang sebentar mengundi. Mirip di Melaka, pengundi akar umbi dijangka memihak kepada BN.

Kedua, pembangkang yang lemah dan berpecah. Selepas PRN Melaka dan Sarawak, PH dilihat masih gagal mempamerkan naratif kuat dan meyakinkan. Persepsi 22 bulan menjadi kerajaan gagal sampai sekarang masih gagal dibetulkan.

Ketiga, isu semasa masih tidak berupaya menimbulkan gelombang penolakan seperti sebelumnya. Ketika ini, isu integriti kepimpinan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pengurusan banjir dan penggunaan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang menyusahkan pengguna menimbulkan kemarahan rakyat. Namun, ia masih tidak sekuat isu 1MDB yang berjaya digunakan, selain faktor masa yang membolehkan isu itu digembleng bagi menyerang kredibiliti kerajaan.

Isunya bukan kita tidak mahu pilihan raya, malah itulah jalan terbaik menyelesaikan masalah dengan membiarkan rakyat memilih. Bukan boleh atau tidak boleh buat PRN tetapi biarlah sesuai masa dan keadaan. Dengan peningkatan ancaman Omicron, mengapa sanggup merisikokan nyawa dan keselamatan rakyat hanya kerana mengidamkan kuasa?

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Klik di sini untuk terus membaca