BEBERAPA hari lalu, saya ada menulis emel kepada seorang kawan warganegara India, Sanjan yang bekerja di Bahrain. Beliau yang mempunyai kelulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal hanya bertugas sebagai pemandu peribadi saya ketika di Bahrain.... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA hari lalu, saya ada menulis emel kepada seorang kawan warganegara India, Sanjan yang bekerja di Bahrain. Beliau yang mempunyai kelulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal hanya bertugas sebagai pemandu peribadi saya ketika di Bahrain.

Saya ada bertanya, kenapa tidak bekerja dalam bidang ikut kelulusan. Jawab beliau – "Huh, susah dapat kerja. Nak kerja pun kena bayar. Lebih baik jadi pemandu peribadi, gaji saya sama sahaja dengan jurutera.”

Saya memang ada terbaca keadaan di India, rasuahnya berleluasa. Filem-filem Bollywood banyak berkisah tentang salah guna kuasa dan rasuah.

Dalam emel saya ada bertanya: "Tak ada cara nak hapuskan rasuah di India?”

Jelas beliau: "Ya ada caranya. Kita ada kemampuan menghapuskan rasuah tapi kena dengan cara betul. Yang menyebabkan kita gagal sebab kita berlawan di tempat yang salah.

"Di tempat yang salah?” tanya saya.

"Saya tinggal di tempat yang kecil. Dulu kalau nak buat rumah, pihak majlis tempatan akan datang melawat. Mereka akan buat pemeriksaan dan kalau kita ajak minum teh pun, mereka tak mahu.

"Sekarang, kalau mereka datang melawat, mesti nak minta duit. Yang menjadi masalah adalah komuniti setempat. Saya ada tanya jiran-jiran, perlukah kita bayar? Kebanyakan jiran jawab untuk memudahkan kerja, bayar sahaja.

"Itu yang menjadi masalah. Sepatutnya kita kena bersatu untuk tidak membayarnya. Paling penting, kita kena tubuhkan satu kumpulan di kawasan setempat kita untuk membanteras gejala minta duit. Kalau tidak, kita tidak akan dapat hapuskan rasuah.

"Itulah maksud saya tentang melawan mengikut keadaan setempat. Kita tidak perlu tulis dalam media sosial tentang kerajaan ini rasuah, ahli politik itu rasuah. Itu tidak mendatangkan hasil.

"Kita perlu bermula di tempat kita dahulu. Apabila semua orang di kawasan kecil, masing-masing ada kumpulan atau persatuan bersatu membanteras rasuah, maka kita akan berjaya membanteras di peringkat nasional.”

Begitulah kata Sanjan penuh bersemangat. Paling penting, kita selesaikan dahulu jika ada pihak berkuasa tempatan, ahli politik, wakil rakyat atau orang-orang persendirian di tempat kita duduk yang meminta rasuah.

Kata Sanjan lagi: "Kebanyakan orang akan mencari jalan mudah. Contohnya, kalau kita menunggang motosikal, kemudian ada bonggol di tengah jalan yang bertujuan elak pandu laju, biasanya orang akan cuba elak bonggol tersebut.

"Mereka akan cari biasanya di hujung tepi, contohnya lorong kecemasan untuk elak bonggol. Maksud saya, bonggol ini adalah kerenah birokrasi yang juga memainkan peranan berlakunya rasuah. Apabila permohonan jadi rumit, akan ada orang minta rasuah dan memberi rasuah bagi mengurangkan kerumitan.”Namun, kata saya, bukan senang menyatukan masyarakat membanteras rasuah. Selagi ada orang meminta dan ada orang sanggup memberi, selain kerenah birokrasi tidak diselesaikan, maka akan berleluasalah rasuah.

Kata Sanjan: "Sekiranya kita secara perlahan dapat membanteras rasuah di lokasi setempat kita, maka secara automatik kita akan dapat banteras rasuah di peringkat nasional.”

Cadangan Sanjan agak menarik, namun agak mustahil. Maksudnya, dengan keadaan pemikiran kita yang masih berpuak-puak, bak kata pepatah, bagai mengepal pasir kering.

Baru-baru ini, Tan Sri Dr Rais Yatim ada mencadangkan penubuhan jawatankuasa antirasuah Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Katanya, usaha dan kempen antirasuah amat penting dan perlu melibatkan ahli-ahli politik. Sebelum ini, hanya melibatkan dan terdiri daripada golongan bukan politik.

Tidak tahulah saya berapa banyak lagi jawatankuasa perlu ditubuhkan. Rasanya sudah banyak badan dan jawatankuasa untuk menangani masalah rasuah.

Namun bak kata pepatah Melayu lama, ibarat menohokkan lembing ke semak sahaja. Entah apa yang ada dalam semak itu tidaklah kita ketahui.

Penerima rasuah mungkin tidak ambil peduli, mereka ibarat anjing beroleh bangkai. Tidak dikiranya bangkai itu dari mana, asalkan mengenyangkan perutnya, maka senanglah hatinya.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca