SEJUJURNYA, bukan mudah membicarakan soal takdir yang begitu luas dalam ruangan terhad ini. Pun begitu, kegagalan kita memahami dan menerima takdir akan memberikan impak besar dalam kehidupan seseorang Muslim yang berpegang teguh kepada agamanya.
Yang jelas, kecelaruan pemikiran dan pergolakan dalam hati akan berterusan pasang dan surut, selagi tidak bersungguh-sungguh memahami serta menerima segala takdir ditetapkan kepada kita.
Natijahnya, ramai kecewa dengan hidup, menyalahkan orang lain, tidak bersabar, runsing tiada penghujungnya dan tidak kurang yang membunuh diri.
Bagi membicarakan takdir atau ketentuan ALLAH SWT, terdapat beberapa perkara asas yang perlu kita fahami antaranya, beriman kepada qada’ dan qadar adalah Rukun Iman keenam bagi seseorang Islam.
Setiap manusia akan menerima takdir ALLAH SWT, bergantung kepada keupayaan mereka menerima takdir tersebut. Keupayaan itu hanya ALLAH SWT sahaja yang mengetahui.
Selain itu, setiap takdir yang baik atau buruk adalah ujian kepada kita. Semuanya ada hikmah tersendiri. Kita juga dituntut berdoa bagi setiap tujuan dan rayuan selaras dengan firman ALLAH SWT: "Dan Tuhan kamu berfirman, berdoalah kamu kepadaKu, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghafir, 40:60).
Sebetulnya, individu yang boleh menerima takdir, secara langsung akan mengubah kerangka fikir lebih positif dan membentuk jiwa yang kuat. Sebagai contoh, jika kita menerima takdir banjir yang berlaku di kawasan kita setelah berpuluh tahun tidak banjir, sudah tentu kita tidak akan panik, tidak mencari salah orang lain dan bersabar dengan musibah.
Ia bermakna, penerimaan ke atas takdir itu membantu diri kita agar tidak sombong dan angkuh dengan kediaman kita yang ‘dipercayai kekal selamat’. Walhal, tiada apa pun yang kekal termasuklah kita sendiri.
Oleh itu, kita perlu berusaha dan bersungguh-sungguh bergantung kepada ALLAH SWT. Berkaitan hal itu, Rasulullah SAW telah menunjukkan teladan yang begitu jelas berkaitan pergantungan sepenuhnya kepada ALLAH SWT sewaktu baginda bersembunyi bersama Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA di dalam gua Thur daripada kezaliman orang-orang kafir Quraisy.
Yang jelas, Rasulullah tidak berharap terselamat daripada musuh melalui persembunyian tersebut, sebaliknya baginda terapkan nilai pergantungan sepenuhnya kepada ALLAH SWT setelah berusaha.
Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran menerusi firman ALLAH SWT: "Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya ALLAH telah pun menolongnya iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua. Ketika ia berkata kepada sahabatnya, janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya ALLAH bersama kita.” (Surah at-Taubah, 9:40).
Pada hemat saya, kegagalan kita menerima takdir kerana kita kurang bersabar dan suka membandingkan nasib kita dengan orang lain. Sedangkan, takdir mereka mungkin baik dalam hal yang kita susah dan amat perit dalam hal yang kita senang.
Ketahuilah, ALLAH SWT berfirman: "Sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya. ‘Bilakah (datangnya) pertolongan ALLAH?’. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan ALLAH itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama ALLAH).” (Surah al-Baqarah, 2:214)
Menurut Pendita Za’Ba menerusi bukunya, Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri – "Kebesaran, kekuatan, ketinggian dan kemuliaan yang sebenar bagi seseorang atau sesuatu umat itu, bila-bila masa pun sentiasa bergantung atau berasas kepada amal mengerjakan kebajikan dan menjauhi kejahatan.”
Justeru, untuk menerima takdir, dekatilah ALLAH SWT dan santuni manusia walau apa juga keadaan.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca