SHAH ALAM - Memperdaya selain menawarkan sejumlah wang untuk mendapatkan akaun bank milik individu menjadi medium sindiket penipuan Macau Scam dan pinjaman tidak wujud.
Pelbagai kes dilaporkan, malah ada mangsa yang ditawarkan sejumlah wang untuk menyerahkan kad, namun tanpa disedari kad akaun itu digunakan untuk tujuan jenayah.
Secara tidak langsung, mereka yang menyerahkan kad bank tidak kira secara sedar atau tidak, telah terbabit sebagai keldai akaun dan akan dikenakan tindakan undang-undang.
Mendedahkan lebih lanjut, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Kewangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, keldai akaun adalah akaun milik individu lain yang digunakan penjenayah untuk melakukan aktiviti menyalahi undang-undang.
Katanya, wang hasil kegiatan haram itu dimasukkan ke dalam akaun terbabit yang berperanan sebagai akaun tumpang atau akaun transit.
"Wang berkenaan hanya masuk seketika sebelum ia dikeluarkan semula. Penggunaan akaun ini sama ada tidak disedari oleh pemilik atau disedari dan sukarela oleh pemilik dengan tujuan untuk mendapatkan habuan.
"Terdapat ahli sindiket ini yang berpura-pura menawarkan pekerjaan kepada mangsa dan meminta mangsa menyerahkan akaun bank serta kad ATM, kononnya untuk memasukkan gaji atau seumpamanya.
"Sewaktu pandemik, ramai yang kehilangan pekerjaan, jadi secara tidak langsung ramai di luar sana terdesak mencari pekerjaan hingga ada yang tanpa menyelidik dengan lebih lanjut dengan tawaran yang diberikan,” katanya menerusi bual bicara khas di Bukit Aman baru-baru ini.
Tambah beliau, mangsa yang tidak menyedari diri mereka sebenarnya dijadikan alat oleh sindiket berkenaan, lantas menuruti syarat yang dikenakan.
"Dalam soal ini, dalam fikiran mangsa, mereka hanya inginkan pekerjaan, sekali gus tidak menyedari diri mereka telah digunakan,” ujar Mazelan.
Jerat diri
Beliau berkata, terdapat juga individu yang dikesan menjalankan aktiviti dengan menawarkan khidmat sewa akaun bagi mendapatkan wang.
"Ada sindiket yang dikesan sebelum ini menawarkan bayaran kepada mana-mana individu yang ingin menyerahkan akaun mereka,” katanya.
Malah katanya, ada sindiket dikesan mencari individu yang ingin menjual akaun milik mereka.
"Kebanyakan individu menjual akaun sendiri kerana ingin mendapatkan wang dengan cepat,” katanya.
Dedah Mazelan, ada kes tangkapan seorang lelaki pada tahun lalu di ibu negara kerana melakukan kerja membeli akaun bank daripada individu.
Katanya lagi, suspek lelaki tempatan itu didapati melakukan kerja itu secara sambilan dan menawarkan sejumlah wang kepada mereka yang hendak menjual akaun peribadi kepadanya.
"Kad akaun bank dan kad ATM yang diperoleh itu kemudian akan dijual semula kepada pihak sindiket. Kita percaya suspek melakukan kerja ini secara sambilan bagi menampung perbelanjaan harian ketika pandemik Covid-19,” katanya.
Mazelan berkata, terdapat juga sindiket membayar sejumlah wang antara RM100 hingga RM500 kepada individu yang mahu menjual akaun milik mereka.
Kita mendapati, antara faktor yang mendorong mereka menjual akaun kepada sindiket adalah kerana desakan hidup.
"Banyak kes yang kita kesan, mereka ini antaranya penganggur, suri rumah, pekerja kilang bahkan ada juga pelajar.
"Golongan ini terdesak untuk mendapatkan wang bagi kelangsungan hidup dan ada yang mahu berbelanja lebih sedikit. Faktor inilah menjadikan mereka sebagai sasaran mudah oleh sindiket,” katanya.
Mudah terpedaya
Menurut Mazelan, ada beberapa kes dilaporkan oleh individu yang menjadi keldai akaun, antaranya disebabkan mereka secara sukarela menyerahkan akaun milik sendiri atas dasar percaya.
"Terdapat mangsa di mana mereka baru sahaja mengenali seseorang individu itu dan apabila diminta memberikan butiran akaun kononnya untuk memulakan perniagaan, tanpa berfikir panjang terus mempercayainya.
"Mangsa yang mudah percaya secara semberono memberikan butiran akaun kepada individu berkenaan atas dasar percaya menyebabkan mangsa terus terperangkap,” jelas beliau.
Kesan sindiket
Walaupun bergerak aktif, namun polis mempunyai pelbagai kaedah untuk mengesan kegiatan sindiket keldai akaun.
Mazelan berkata, sindiket itu akan dikesan menerusi siasatan terperinci selepas mendapat laporan yang dibuat mangsa.
"Sebaik sahaja menerima laporan mangsa, kita akan terus kesan pemilik akaun, pemilik telefon dan juga daripada pelbagai informasi yang diperoleh dalam siasatan.
"Ruang lingkup siasatan kita menyeluruh dan hasilnya kita dapat mengenal pasti keldai akaun yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serius menangani jenayah itu dengan pelbagai tindakan pencegahan dilaksanakan bersama kerjasama pelbagai pihak seperti bank.
"Polis mendapat kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak dalam usaha membanteras sindiket keldai akaun.
"Kes melibatkan keldai akaun tidak rumit kerana kita mendapat kerjasama baik daripada semua pihak,” katanya.
Jelasnya, masyarakat harus mengambil segala pendekatan untuk mengelak daripada menjadi mangsa.
"Jangan mudah menyerahkan segala butiran termasuk akaun peribadi kepada mana-mana pihak terutamanya mereka yang tidak dikenali.
"Perlu diingat sebagai pemegang akaun, kita bertanggungjawab penuh dengan semua urusan melibatkan transaksi dan maklumat akaun sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat agar sentiasa menjaga kerahsiaan butiran peribadi.
"Paling utama, jangan melibatkan diri dengan sindiket, jangan sesekali terpedaya dengan helah sindiket yang kononnya menjanjikan tawaran wang lumayan sekiranya mangsa memberikan akaun peribadi kepada mereka.
"JSJK menasihatkan agar masyarakat tidak mendedahkan apa juga maklumat perbankan, berkongsi akaun, meminjamkan akaun dan sebagainya,” katanya.
INFO
- Semakan:
1. Layari https://ccid.rmp.gov.my/semakmule untuk menyemak akaun bank dan nombor telefon yang terlibat dengan jenayah komersial.
2. Hubungi CCID Scam Response Centre di 03-26101559 dan 03-26101599 untuk pertanyaan modus operandi kes penipuan dalam talian serta saluran menyampaikan maklumat oleh mangsa.
3. Boleh semak Facebook JSJK PDRM atau CyberCrimeALertRMP atau CCID Infoline (WhatsApp sahaja).
- Tindakan undang-undang:
1) Seksyen 411 Kanun Keseksaan iaitu menerima harta curi secara tidak jujur (maksimum 5 tahun atau denda)
2) Seksyen 424 Kanun Keseksaan iaitu mengalih atau menyembunyikan harta secara tidak jujur atau fraud (maksimum 5 tahun penjara atau denda)
3) Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 (maksimum RM1,000 atau penjara 1 bulan)
4) Seksyen 22a(1) Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah 1953 (maksimum RM300 atau penjara tidak lebih 3 bulan)
5) Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak 1958 (penjara tidak lebih 3 tahun dan denda RM500)
Klik di sini untuk terus membaca