SEJAK dua minggu lalu, Mat Taici tertarik dengan tuntutan satu kelompok UMNO yang tidak henti-henti mendesak pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Walaupun banyak pihak mempertikaikannya atas alasan Covid-19 dan sebagainya, namun bagi Mat Taici, ia relevan kalau mengambil kira strategi politik parti berkenaan.
Yalah, dengan bukti dua kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka dan Sarawak tahun lalu menunjukkan berlaku peralihan sokongan pengundi atas pagar dan pengundi Cina kepada parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) sendiri.
Rating sokongan rakyat terhadap kerajaan campuran BN dan Perikatan Nasional ketika ini boleh dianggap kurang popular.
Mat Taici juga tertarik meneliti pendedahan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin masih berada dalam tampuk pentadbiran kerajaan BN di Putrajaya sekiranya PRU14 diawalkan setahun pada tahun 2017.
Kata beliau, sekiranya PRU14 diadakan pada Mei atau Jun 2017, Najib dan BN tidak akan terbeban dengan serangan skandal 1MDB dan pelbagai isu lain yang ketika itu belum lagi hangat dimainkan.
Justeru, Mat Taici memahami kebimbangan beliau apabila kelompok pemimpin UMNO pro Putrajaya cuba melewatkan PRU15 dengan mendesak proses pemilihan parti diadakan segera.
Namun, dengan hubungan koalisi PH dikatakan 'sudah retak' dengan sebahagian pemimpin DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini lebih tertarik untuk menyertai Parti Warisan (Sabah) dipimpin Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Sanggupkah kelompok pemimpin pro Ismail Sabri ini mengambil risiko mengulangi sejarah kekalahan UMNO dan BN pada PRU14?
Lebih menarik, ada sumber terdekat PH memberitahu Mat Taici yang parti-parti dalam koalisi itu sudah berpecah teruk sehinggakan mesyuarat Majlis Presiden PH tidak pernah diadakan sejak kekalahan PRN Sarawak tahun lalu.
Bahkan, dalam melaksanakan demonstrasi memprotes isu skandal saham Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - isu yang dianggap 'peluru besar' pembangkang untuk menjatuhkan kredibiliti kerajaan Ismail Sabri - parti-parti dalam PH dilihat mengemukakan bantahan secara silo dan tidak bersepadu.
Bagi Mat Taici, keretakan serius hubungan parti dalam PH sebenarnya merupakan peluang terbaik untuk Ismail Sabri mahu pun PN melaksanakan PRU15 dalam masa terdekat.
Takkan kerajaan hendak tunggu sokongan pengundi atas pagar, 18 tahun ke atas serta kaum Cina 100 peratus beralih kepada koalisi ketiga iaitu Warisan dan Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda), baru mereka hendak laksanakan PRU15?
Tepuk dada, tanya selera
Psst: Mat Taici neutral, hanya sokong kerajaan stabil sahaja....
Klik di sini untuk terus membaca