ISU moral sering diperkatakan apabila seseorang itu bercakap tentang undang-undang. Budi pekerti dan moral yang mulia adalah satu-satunya asas paling kuat untuk melahirkan masyarakat ikhlas dan amanah. Orang yang tidak bermoral akan mudah... Klik di sini untuk terus membaca

ISU moral sering diperkatakan apabila seseorang itu bercakap tentang undang-undang. Budi pekerti dan moral yang mulia adalah satu-satunya asas paling kuat untuk melahirkan masyarakat ikhlas dan amanah.

Orang yang tidak bermoral akan mudah terjerumus dalam aktiviti jenayah dan kemungkaran. Semua undang-undang digubal bagi menegakkan, antara lain sistem moral yang jitu.

Pembunuhan secara tidak sah umpamanya, adalah perbuatan tidak bermoral. Oleh itu, ada undang-undang menangani kesalahan membunuh.

Tiada agama berkompromi dengan isu-isu moral, contohnya sami-sami Buddha di Thailand pernah berdemonstrasi membantah penjualan arak secara berleluasa dalam masyarakat mereka sehingga menyebabkan keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda.

Undang-undang sebenarnya bersandarkan kepada moral dan moral bersandarkan kepada agama. Walaupun salah satu Rukun Negara adalah kesopanan dan kesusilaan, namun permasalahan moral sering diketepikan dalam konteks Rukun Negara.

Keruntuhan akhlak yang kita hadapi hari ini sama ada melibatkan moral jenayah seperti rasuah atau moral keagamaan seperti berzina.

Dalam membuat sesuatu keputusan, kita mesti merujuk kembali kepada Islam. Sebagaimana pernah diriwayatkan ketika ditanya kepada Saidatina Aishah: "Apakah akhlak Rasullulah.” Aishah menjawab: "Akhlak Rasulullah ialah al-Quran.” Oleh itu, apabila terdapat di dalam al-Quran melarang orang Islam mendekati zina, adakah salah kerajaan membuat perundangan mewujudkan kesalahan berzina bagi orang Islam?

Rasulullah pernah bersabda: "Sesungguhnya Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.”

Pada masa sekarang, kita tidak dapat lari daripada mengkodifikasikan ajaran Islam kerana masyarakat Islam itu sendiri telah renggang daripada Islam.

Jika dahulu apabila ayat al-Quran tentang pengharaman arak diturunkan, maka para sahabat berduyun-duyun membuang arak tanpa mempersoalkannya.

HAK ASASI

Kini, setelah 1,400 tahun berlalu, penghayatan terhadap al-Quran amat rendah. Jadi, hukuman berbentuk keduniaan perlu mengambil tempat sebagai penghalang kepada budaya minum arak.

Akhlak manusia tidak akan terdidik tanpa panduan daripada undang-undang. Dengan perundangan yang ada pun, akhlak masyarakat amat menyedihkan. Apa akan jadi jika semua perundangan ini dihapuskan?

Secara hipotetikalnya, apabila undang-undang itu dihapuskan, apa akan jadi jika dua orang melakukan perbuatan tidak sopan di hadapan kita atau keluarga kita.

Biarkan sahaja kerana ia hak asasi mereka? Biarkan remaja kita menonton aksi tidak bermoral? Apa yang hendak kita lakukan? Bagaimana pula hak asasi kita yang berasa jijik melihat perbuatan seperti itu?

Tidak dinafikan, pendidikan adalah elemen penting mengawal moral seseorang tetapi pendidikan sahaja tidak mencukupi. Pendidikan bertindak sebagai ‘amar maaruf’, manakala hukuman dalam bentuk perundangan bertindak sebagai ‘nahi mungkar’.

Kedua-dua kaedah itu sebenarnya tidak boleh dipisahkan, apatah lagi dalam keadaan negara mengambil Islam di dalam ruang begitu terhad dan berpilih sahaja.

Jika kita meneliti kaedah hukum syarak, maka tidak timbul andaian suatu hari nanti mungkin ada undang-undang membenarkan pegawai penguat kuasa masuk ke rumah dan periksa sama ada seseorang itu solat lima waktu atau tidak. Andaian itu adalah andaian melampau.

Selagi seseorang itu beragama Islam, maka ia berada dalam sistem yang lengkap. Islam tidak sekadar rutin ritual harian tetapi cara hidup merangkumi semua aspek kehidupan termasuklah kawalan moral atau akhlak islamiah.

Rakyat perlu mempunyai akhlak dan moral tinggi, begitu juga bagi penguasa sama ada mereka yang mempunyai kuasa melaksanakan undang-undang termasuklah pimpinan di peringkat negeri dan Persekutuan.

Kita berasa sangat malu apabila mendabik dada Malaysia sebuah negara majoriti orang Islam tetapi akhlak rakyatnya jauh lebih buruk dari negara bukan orang Islam.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca