KAZAKHSTAN, negara terbesar di Asia Tengah telah dilanda pergolakan politik paling serius dalam sejarah modennya. Saiznya hampir sebesar Eropah Barat, namun jumlah penduduknya agak kecil iaitu 19 juta orang bagi sebuah negara yang begitu... Klik di sini untuk terus membaca

KAZAKHSTAN, negara terbesar di Asia Tengah telah dilanda pergolakan politik paling serius dalam sejarah modennya. Saiznya hampir sebesar Eropah Barat, namun jumlah penduduknya agak kecil iaitu 19 juta orang bagi sebuah negara yang begitu besar.

Kedudukannya juga sangat strategik kerana bersempadan dengan Rusia dan China. Kazakhstan mempunyai rizab minyak terbesar di dunia. Ia mengeluarkan kira-kira 1.6 juta tong sehari dan telah menarik berbilion dolar dalam pelaburan asing.

Kazakhtan memperoleh kemerdekaan pada 1991 susulan kejatuhan Kesatuan Soviet. Selama hampir tiga dekad selepas kemerdekaan, negara itu ditadbir Presiden Nursultan Nazarbayev, seorang bekas ahli biro politik Parti Komunis yang mempunyai hubungan erat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Pada 2019, Nursultan Nazarbayev telah meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada orang pilihannya, Presiden Kassym Jormart Tokayev. Politik dan kerajaan Kazakhstan adalah stabil berbanding jirannya, Tajikistan dan Kyrgyzstan.

Maka, timbul persoalan mengapa rusuhan begitu serius berlaku dan apakah implikasinya kepada perimbangan kuasa di Asia Tengah?

Rusuhan tercetus akibat kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG) pada 1 Januari lalu. Namun, punca sebenar pergolakan politik di Kazakhstan masih belum dikenal pasti kerana pihak pemerintah dan Rusia mendakwa wujud campur tangan luar.

Kerajaan Kazakhstan juga mendakwa ada cubaan kumpulan pengganas menimbulkan keadaan huru-hara.

Pada masa sama, kebanyakan agensi media antarabangsa melaporkan rusuhan berlaku akibat rintihan penduduk Kazakhstan yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan Nursultan Nazarbayev dan Kassym- Jormat Tokayev yang bersifat kuku besi serta tidak demokratik.

Implikasi pergolakan politik di Kazakhstan tidak terhad kepada politik domestik. Ia juga mempunyai kesan kepada perimbangan kuasa di rantau Asia Tengah. Rusia mempunyai kedudukan istimewa di rantau Asia Tengah kerana suatu ketika dahulu seluruh Asia Tengah di bawah kekuasaan Kesatuan Soviet.

PENGARUH RUSIA

Justeru, bahasa Rusia terus menjadi bahasa pengantara dan kebanyakan hal ehwal ekonomi serta politik berpaksikan kepada Moscow. Misalnya, laluan paip minyak dan LPG dari Asia Tengah ke rantau lain masih melalui Rusia. Kebanyakan pemimpin negara Asia Tengah berpendidikan di Rusia.

Rusuhan di Kazakhstan telah menimbulkan kebimbangan bagi Rusia. Jika tidak terkawal boleh mengakibatkan kesan limpahan atau spillover effect kepada seluruh rantau sehingga boleh mengganggu gugat kepentingan Rusia di Asia Tengah.

Rusia khuatir rusuhan di Kazakhstan akan mengulangi Arab Spring yang telah berlaku di Tunisia pada 2011 dan merebak ke seluruh Asia Barat sehingga menyebabkan kejatuhan pemerintahan Presiden Zine El Abidine Ali, dan kemudian Presiden Hosni Mubarak dari Mesir.

Rusia sedar kuasa-kuasa luar mahu mencabar dan menghakis pengaruhnya di Asia Tengah, malah boleh mempergunakan ketidakstabilan di Kazakhstan bagi mempengaruhi penduduk di negara jiran bangkit menentang pemerintahan mereka sehingga menimbulkan Central Asia Spring.

Sebelum itu berlaku, Vladimir Putin telah bersetuju dengan permintaan Kassym-Jormat Tokayev agar Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO), sebuah pakatan keselamatan serantau diketuai Rusia, menghantar tentera pengaman bagi membantu memulihkan keadaan.

Vladimir Putin sedar jika Rusia kehilangan Kazakhstan daripada pengaruhnya, ia boleh memberi inspirasi kepada gerakan pro-demokrasi di republik lain bekas Soviet.

Begitu juga China yang mempunyai kepentingan di Asia Tengah melalui pelaburan dan projek-projek Belt and Road Initiative (BRI). China juga tidak mahu rusuhan di Kazakhstan tidak terkawal sehingga mampu menggugat ke-pentingannya.

Rantau Asia Tengah sejak dahulu lagi menjadi kawasan percaturan politik kuasa-kuasa besar diberi nama jolokan the great game. Persaingan kuasa besar dijangka menjadi lebih hangat kerana rantau tersebut kaya dengan sumber asli dan berkedudukan strategik.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca