KINI segalanya terjawab sudah. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Sabtu berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang baharu.
Ini bermakna Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan bersidang segera untuk menentukan tarikh hari penamaan calon, undi awal, undi pos dan hari mengundi.
Berdasarkan peruntukan undang-undang, SPR mempunyai tempoh 60 hari untuk menjalankan pilihan raya. Ini bermakna, rakyat Johor mempunyai tempoh sehingga 23 Mac untuk menunaikan tanggungjawab mereka. Namun begitu, ramai yang menjangkakan pengundian akan berlangsung sekitar pertengahan Februari.
Sepertimana Melaka, Sarawak dan Sabah, Johor kini menjadi negeri yang keempat untuk mengadakan PRN secara sendirian, tidak sepertimana selalu, bersama-sama persekutuan dalam menentukan siapakah yang layak memerintah untuk tempoh lima tahun lagi.
Kita juga sudah sedia maklum, siapa yang muncul sebagai pemenang di kesemua tiga PRN yang lalu. Bagaimanapun, jika mengambil kira apa yang berlaku di Melaka, kita juga sudah boleh menjangkakan mengapa UMNO begitu inginkan sebuah pilihan raya baharu diadakan seberapa segera yang boleh.
Peluang ini muncul sebaik sahaja kedudukan kerusi di dalam dewan hanya berjurangkan satu kerusi ekoran kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
Kedudukan yang rapuh ini adalah alasan paling mustajab untuk UMNO merebut peluang dengan mengadakan PRN sekarang - pada ketika semangat kemenangan besar di Melaka boleh dijadikan pendorong dan penggalak utama mencipta satu lagi kejayaan besar.
Alasan terbaik yang kedua ialah lebih baik diadakan PRN sekarang pada saat kedudukan parti-parti lawan berada di kedudukan yang paling rendah dari segi moral dan juga populariti.
Janganlah pula terkejut, andai kata Johor mampu mengulangi kejayaan cemerlang di Melaka, UMNO tidak akan teragak-agak untuk meneruskan desakan supaya diadakan pula Pilihan Raya Umum pada tahun ini juga.
Perkiraan Belalang mudah sahaja. Siapa yang tidak mahukan pilihan raya dalam keadaan kemenangan menyebelahi mereka. Hanya mereka yang lemah dan tidak berupaya untuk bangkit sahaja yang akan mendoakan sebaliknya.
Orang yang menang akan mahu terus menang. Orang yang kalah tidak mahu terus kalah dan enggan masuk gelanggang dalam keadaan tidak atau belum bersedia kerana enggan kalah lagi. Mereka perlukan masa untuk bangkit semula. Dan mahu bangkit dalam keadaan yang kalah bukanlah satu kerja yang mudah.
Namun begitu, sukalah Belalang pesan, jangan seronok sangat kerana situasi di Johor sama sekali berbeza dengan di Sabah, Melaka dan Sarawak.
Di Johor, DAP ada 14 kerusi dalam tangan, Bersatu (11), PKR (7), Amanah (6) dan Pas (1). BN pula sama kuat dengan DAP dengan menguasai 14 kerusi.
Pas walaupun di persekutuan adalah sekutu dengan UMNO tetapi di negeri khususnya di Melaka, mereka telah membuktikan yang mereka bukan sehaluan. Mereka memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) iaitu sekutu rapat Bersatu.
Berdasarkan situasi semasa kita sudah boleh menjangkakan yang mereka akan mengambil pendirian yang sama sepertimana di Melaka.
UMNO pun sudah bersedia untuk bertanding secara solo atas tiket Barisan Nasional (BN). Dan sudah tentulah pada PRN ini mereka mahu merampas apa yang dikuasai oleh Bersatu, Amanah dan Pas manakala rakan sekutu mereka MIC dan MCA mahukan syer yang kini dipegang oleh DAP.
Sekali lagi berdasarkan prestasi di Melaka, MIC dan MCA akan masuk gelanggang dengan semangat yang sama sekali berbeza ketika PRU14 dahulu.
Jika UMNO dan BN boleh meneruskan momentum kemenangan sepertimana di Melaka, maka mereka boleh membuktikan yang kemenangan di Melaka bukanlah satu kes yang terpencil tetapi adalah kemenangan di atas kekuatan dan populariti yang sebenar.
Manakala bagi parti-parti di bawah Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang lain, mereka tidak mempunyai banyak pilihan sebenarnya melainkan untuk bangun dan membuktikan yang mereka masih relevan pasca PRU14.
Maka atas sebab itulah, PRN Johor ini bakal menjadi satu pilihan raya yang mendebarkan dan dinanti-nantikan.
Belalang - Moga yang terbaik menang...
Klik di sini untuk terus membaca