NAMPAKNYA sepanjang masa kita dikejutkan dengan pelbagai berita dan maklumat mengenai kebobrokan pentadbiran negara. Daripada anggota kabinet yang gagal melaksanakan tugas tetapi diberi markah 90 peratus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)... Klik di sini untuk terus membaca

NAMPAKNYA sepanjang masa kita dikejutkan dengan pelbagai berita dan maklumat mengenai kebobrokan pentadbiran negara.

Daripada anggota kabinet yang gagal melaksanakan tugas tetapi diberi markah 90 peratus, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) didakwa meraba wanita, sorong papan tarik papan antara Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehinggalah dakwaan hakim kanan syarie yang didakwa berbogel di dalam bilik tidur rumah orang.

Perangai dan tindak-tanduk luar biasa kepimpinan negara ketika ini tidaklah menghairankan kerana mereka membentuk kerajaan melalui rampasan kuasa dan selepas itu saling jatuh menjatuhkan.

Pegawai kerajaan dan eksekutif syarikat serta tabung berkaitan kerajaan pun terikut-ikut, atas alasan bos buat, kami ikut sajalah. Penyakit ini telah merebak begitu luas sehingga menjadi sistematik.

Boleh kata tidak ada lagi tempat dalam perkhidmatan awam, syarikat dan tabung berkaitan kerajaan (GLC dan GLIC) serta agensi penguat kuasa, wabak itu tidak berlaku.

Ambil contoh, Khazanah Nasional Berhad. Walaupun pencapaiannya menjunam akibat Covid-19, namun upah pengurusan tertingginya melambung naik.

Berbeza ketika krisis ekonomi 1980-an dan 1990-an apabila anggota kabinet dan pegawai tinggi kerajaan merelakan potongan gaji yang besar dan semua pihak termasuk sektor swasta turut menyumbang.

Begitu pun, ada juga perkembangan positif apabila rakyat pelbagai kaum bangkit saling membantu setelah melihat kelembapan dan ketidakberdayaan kerajaan membantu mangsa krisis ekonomi serta banjir besar baru-baru ini.

JUMLAH GAJI, UPAH TINGGI

Sikap tidak peduli dalam kalangan pengurusan kanan GLC dan GLIC boleh dilihat daripada cara eksekutif tertinggi Khazanah membayar gaji kepada diri mereka sendiri selepas Perikatan Nasional (PN) naik pada 2020 berbanding 2019 di bawah Pakatan Harapan (PH).

Laporan tahunan Khazanah 2020 menunjukkan jumlah gaji, upah dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pengarah eksekutif serta pengarah bukan eksekutif berjumlah RM4.8 juta berbanding RM2.6 juta pada 2019.

Gaji, upah dan caruman KWSP bagi pengurusan utama naik daripada RM25.6 juta kepada RM45.3 juta dalam suasana hampir 100,000 pekerja di seluruh negara hilang mata pencarian akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia kenaikan sebanyak RM19.7 juta, sedangkan bagi tempoh sama, keuntungannya jatuh merudum daripada RM7.4 bilion kepada RM2.9 bilion.

Itu pun, sebahagian besar keuntungan adalah dengan menjual harta. Pada 2020, ia menjual 85 juta saham biasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mendapat keuntungan modal RM1 bilion dan 172.3 juta saham Telekom Malaysia Berhad (TM) bagi memperoleh RM734.7 juta.

Maksudnya, RM1.73 bilion atau lebih separuh keuntungan tahun 2020 adalah daripada penjualan harta dikumpulkan selama berpuluh tahun.

Maaf cakaplah, setakat hendak jual harta yang orang lain kumpul, tak payahlah bayar gaji besar-besar. Budak-budak remisier di broker saham pun boleh buat.

Soalnya, takkanlah Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berpuas hati dengan pencapaian seperti ini?

Logiknya, sebagai tokoh korporat, beliau tentu mahu atau berupaya memperbaiki hierarki pengurusan Khazanah yang boleh dikatakan masih dalam acuan bekas Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Itu hanya Khazanah. Kita juga perlu mendalami perkembangan dalam banyak lagi GLC di luar kumpulan Khazanah dan tabung-tabung pelaburan seperti KWSP dan Permodalan Nasional Berhad.

Elok diadakan penyiasatan forensik menyeluruh ke atas semua GLC dan GLIC untuk dibentangkan kepada Parlimen seperti yang telah dibuat terhadap Felda dan kini Tabung Haji.

Kita tidak mahu GLC dan GLIC diuruskan seolah-olah kongsi gelap.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca