PERANG Yemen memasuki fasa baharu dan kini menjadi tumpuan dunia apabila serangan dron pada Isnin lalu oleh pemberontak Huthi telah menjejaskan imej Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai sebuah negara yang selamat. Serangan itu menyebabkan... Klik di sini untuk terus membaca

PERANG Yemen memasuki fasa baharu dan kini menjadi tumpuan dunia apabila serangan dron pada Isnin lalu oleh pemberontak Huthi telah menjejaskan imej Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai sebuah negara yang selamat.

Serangan itu menyebabkan tiga warga asing terbunuh dan enam lagi cedera di Abu Dhabi.

Ia kemudiannya disusuli dengan serangan balas ke atas sebuah penjara di kubu kuat kumpulan pemberontak Huthi di Saada yang dilaporkan mengorbankan 70 individu dan angka kematian dijangka meningkat.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, pakatan tentera diketuai Arab Saudi pada Sabtu menafikan ia melakukan serangan udara tersebut.

Setakat ini, tiada mana-mana pihak yang tampil mengaku mendalangi serangan tersebut.

Serangan dron pada Isnin lalu oleh pemberontak Huthi.

Terdapat beberapa kumpulan yang terlibat dalam konflik di Yemen selain tentera kerajaan dan Huthi, antaranya ialah Giant Brigade yang mendapat sokongan daripada UAE.

Briged Giant didakwa berjaya mengusir pemberontak Huthi keluar dari wilayah Shabwa sebelum ini.

Hal ini menjadikan episod Perang Yemen menjadi lebih menarik kerana ada pihak yang mahu mengeruhkan lagi situasi di negara bergolak tersebut.

Pertubuhan Save the Children memaklumkan konflik itu semakin buruk selepas sebuah kemudahan telekomunikasi terkena serangan udara di bandar pelabuhan Hudayah yang menyebabkan tiga orang kanak-kanak sedang bermain bola sepak terkorban.

Riyadh mengesahkan pakatan tentera yang diketuainya telah melancarkan serangan tersebut.

KONFLIK BERMULA 2014

Krisis itu bermula apabila kumpulan pemberontak Huthi daripada etnik minoriti Zaidi menawan ibu negara Sanaa pada September 2014.

Ia berlaku berikutan kegagalan proses politik yang sepatutnya membawa kestabilan kepada negara tersebut.

Pemberontakan pada tahun 2011 menyebabkan bekas presiden, Ali Abdullah Saleh menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Abdrabbuh Mansur Hadi.

Ali Abdullah Saleh

Pemberontak Huthi kemudiannya bersekutu dengan unit tentera yang setia kepada Ali Abdullah dan melancarkan penentangan terhadap Abdrabbuh Mansur yang akhirnya terpaksa melarikan diri ke bandar Aden pada Februari 2015.

Ia disusuli dengan tindakan ketenteraan dilancarkan pada Mac 2015 yang menyasarkan kedudukan Huthi, malah Washington didakwa menyumbang kemudahan logistik dan risikan.

Ketika Huthi mara ke Aden, Abdrabbuh Mansur bertindak melarikan diri ke Arab Saudi.

Ketika memerintah negara itu, beliau berdepan dengan pelbagai masalah termasuk serangan dilancarkan kumpulan militan, gerakan pemisah di selatan dan isu pengangguran.

Abdrabbuh Mansur Hadi

Pada Isnin lalu, kumpulan pemberontak Huthi melancarkan beberapa serangan peluru berpandu dan dron ke Arab Saudi termasuk kemudahan minyaknya sebelum melakukan serangan ke UAE.

Huthi mendakwa serangan ke atas Abu Dhabi itu sebagai amaran kerana negara itu masih terus bermusuhan dengan kumpulan tersebut.

Pakatan tentera diketuai Arab Saudi kemudiannya bertindak balas dengan melancarkan serangan balas udara di Sanna menyebabkan 14 orang terkorban di Yemen yang turut berdepan kritikan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Serangan nekad dilancarkan Huthi itu berlaku selepas Iran menghantar wakilnya kembali bertugas di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berpusat di Arab Saudi.

Serpihan dron yang digunakan dalam serangan di UAE pada awal minggu lalu. - Agensi

Ia merupakan langkah diplomatik pertama sejak Riyadh dan Teheran memutuskan hubungan pada tahun 2016.

Ketika ini, komuniti antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) menggesa supaya pihak bertelagah meredakan ketegangan tersebut kerana UAE dikhuatiri menjadi sasaran Huthi sekali lagi.

Pengarah Forum Antarabangsa Teluk, Dr Dania memberi amaran serangan itu dijangka berlaku dalam skala lebih besar, sekali gus mencemarkan reputasi UAE sebagai negara ketiga terkaya di dunia.

Klik di sini untuk terus membaca