DI sebalik kehadiran Parti Warisan (Warisan) ke Semenanjung Malaysia diperlekeh banyak pihak, sebuah badan pemikir politik tempatan pula melihat senario itu bakal menyumbang kepada rekahan besar ‘kebocoran’ sokongan pengundi Cina... Klik di sini untuk terus membaca

DI sebalik kehadiran Parti Warisan (Warisan) ke Semenanjung Malaysia diperlekeh banyak pihak, sebuah badan pemikir politik tempatan pula melihat senario itu bakal menyumbang kepada rekahan besar ‘kebocoran’ sokongan pengundi Cina terhadap Pakatan Harapan (PH) terutama DAP.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, beliau tidak terkejut dengan gerakan agresif Warisan yang dilihat cuba memecahkan dominasi sokongan pengundi Cina terhadap DAP, lebih-lebih pada saat kepimpinan parti itu semakin berpecah-belah.

Hisommudin

Lebih menarik, beliau tidak menolak kemungkinan langkah Warisan mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang pada minggu lalu adalah sebahagian daripada usaha Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ‘memancing’ sebilangan pemimpin DAP yang ‘terpinggir’.

Spekulasi itu semakin bertiup kencang apabila Warisan didakwa bakal membawa masuk sekurang-kurangnya lapan pemimpin berpengaruh daripada PH untuk memperkuatkan parti itu dalam masa terdekat.

"Sambutan diterima Warisan daripada pengundi Cina Pulau Pinang amat menggalakkan, seolah-olah kehadiran mereka ditunggu-tunggu kelompok pengundi yang sinonim menyokong PH sejak tahun 2008.

"Umum mengetahui perpecahan dalaman DAP semakin ketara sejak Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan kerajaan PH dengan sebilangan besar pemimpin kanan parti itu mula mempersoalkan kredibiliti keluarga Guan Eng dalam menerajui parti itu.

"Ditambah pengundi Cina sudah letih dengan pendirian pucuk kepimpinan DAP yang masih mempertaruhkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, saya tidak menolak kemungkinan mereka akan memberi ruang kepada Warisan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya kepada Sinar Premium.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi sebilangan pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mempertimbangkan keputusan untuk menyertai Warisan susulan parti itu melebarkan sayap ke Semenanjung pada tahun lalu.

Percaturan bijak Warisan bersama Muda membentuk koalisi baharu mampu memecahbelahkan sokongan pengundi Cina terhadap PH.

Terbaharu, bekas Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang membuat keputusan untuk keluar DAP, sekali gus menguatkan kemungkinan beliau bakal ‘dipinang’ Warisan dalam masa terdekat.

Selain Danny, beberapa pemimpin senior DAP Pulau Pinang termasuk bekas Setiausaha Politik Guan Eng, Ng Wei Aik serta bekas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi juga dikhabarkan bakal mengikut jejak langkah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang itu.

ALIH SOKONGAN

Isu peralihan sokongan pengundi Cina terhadap PH dan DAP menjadi perdebatan setelah koalisi pembangkang itu mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Sarawak pada tahun lalu.

Pada masa sama, Warisan giat merangka strategi untuk mengukuhkan cengkaman parti itu di peringkat nasional apabila mengumumkan kerjasama politik dengan sebuah lagi parti baharu yang semakin menonjol, Parti Ikatan Demokratik Muda (Muda).

Hisommudin turut mendedahkan hasil cerapan Ilham Centre di platform media sosial mendapati kelompok pengundi Cina juga tidak segan silu untuk menyerang kredibiliti kepimpinan keluarga Lim serta mempersoalkan kemampuan Anwar untuk mengetuai blok pembangkang.

Pergolakan dalaman PH dan DAP menyebabkan defisit kepercayaan pengundi cina kepada koalisi itu semakin terhakis.

Jelas beliau, perkara itu tidak berlaku sebelum PRU14, sekali gus memberi isyarat mereka mahukan perubahan drastik dari sudut kepimpinan DAP dan PH itu sendiri.

"Situasi kekalahan PH pada dua PRN sebelum ini turut memberi petanda sokongan pengundi Cina tidak lagi tertumpu kepada blok tertentu seperti PH tetapi semakin mencapah dan fleksibel kepada parti yang mampu memenuhi kehendak mereka.

"Sekiranya DAP masih mengekalkan kem keluarga Guan Eng dalam parti selain memilih Anwar sebagai calon Perdana Menteri PRU15, pengundi Cina bukan sahaja bakal boikot DAP, malah situasi split vote yang menguntungkan parti pemerintah juga bakal berlaku,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca