WALAUPUN hanya sebuah negara kecil, Malaysia boleh berbangga dengan kekayaan flora dan fauna yang unik serta tersendiri. Salah satu keunikan sumber alam negara adalah kewujudan Harimau Malaya atau nama saintifiknya, Panthera tigris... Klik di sini untuk terus membaca

WALAUPUN hanya sebuah negara kecil, Malaysia boleh berbangga dengan kekayaan flora dan fauna yang unik serta tersendiri. Salah satu keunikan sumber alam negara adalah kewujudan Harimau Malaya atau nama saintifiknya, Panthera tigris jacksoni.

Harimau Malaya merupakan subspesies harimau belang yang hanya terdapat di Semenanjung Malaysia. Di seluruh dunia, terdapat sembilan subspesies harimau belang. Selain Harimau Malaya, ada Harimau Bali, Harimau Jawa dan Harimau Sumatera di Indonesia.

Harimau Kaspian di sekitar Turki, Iran dan Asia Tengah; Harimau Siberia di kawasan sekitar sempadan Rusia-China; Harimau China Selatan di Hainan, selatan China; Harimau Indochina di Myanmar, Thailand, Laos, Vietnam, Kemboja dan Barat Daya China serta Harimau Bengal di Bangladesh, Nepal, Bhutan, China dan Myanmar.

Harimau Bali, Harimau Jawa dan Harimau Kaspian adalah tiga subspesies yang telah diisytiharkan pupus.

Keunikan Harimau Malaya telah mendorong Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengangkatnya sebagai maskot dan nama timangan untuk skuad bola sepak negara. Di Zoo Bronx New York, terdapat dua ekor Harimau Malaya yang diberi nama Melayu, Nadia dan Azrul.

Hari ini, Harimau Malaya menghampiri zaman suram. Walaupun dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), namun dapatan 1st National Tiger Survey 2016-2018 mendapati bilangan Harimau Malaya kurang daripada 200 ekor.

Jika tiada tindakan drastik dijalankan bagi mengatasi masalah penurunan populasi, Harimau Malaya mungkin akan pupus lima hingga 10 tahun akan datang.

PUPUS

Kepupusan harimau bukanlah terhad kepada Harimau Malaya sahaja. Di seluruh dunia, harimau telah dijadikan sebagai binatang perlindungan kerana ia menuju kepupusan akibat pemburuan haram sama ada disebabkan kepercayaan mistik atau barangan koleksi yang mahal.

Namun, akhir-akhir ini ancaman kepupusan Harimau Malaya mendapat perhatian khusus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jumaat lalu, ketika merasmikan Persidangan Menteri-Menteri Asia Mengenai Pemuliharaan Harimau ke-4 (AMC4), Ismail Sabri mengumumkan komitmen kerajaan dalam memulih dan meningkatkan populasi Harimau Malaya seiring langkah negara-negara Asia lain.

Komitmen Perdana Menteri bukanlah sekadar ucapan penyedap kata kerana awal Januari lalu, beliau sendiri telah mempengerusikan Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaysia (MyTTF) dan memutuskan enam perkara di bawah Pelan Tindakan-Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya untuk tempoh 10 tahun (sehingga 2030).

Bagaimanapun, iltizam kerajaan akan tersekat jika pelaksana dasar tidak bersungguh. Ketika ini kempen ‘Selamatkan Harimau Malaya’ belum nampak wajah serius. Lebih malang, awal bulan lalu seekor harimau ditembak mati oleh petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam satu operasi mencari orang asli yang diserang Pak Belang.

Kita tidak menolak hakikat kepentingan manusia perlu diutamakan, namun berdepan haiwan pupus mungkin lebih sesuai digunakan peluru ubat pelali berbanding peluru biasa.

Menariknya, dalam usaha kerajaan memulihara spesies terancam, skuad Harimau Malaya negara juga dalam proses sama. Persatuan Bola Sepak Malaysia dipercayai membelanjakan jutaan ringgit bagi membawa bekas pengarah teknikal bola sepak Korea Selatan, Kim Pan-gon sebagai ketua jurulatih baharu skuad Harimau Malaya.

Persoalan pemulihan skuad bola sepak negara sama juga seperti pemuliharaan Harimau Malaya. Pembuat polisi boleh menyediakan peruntukan jutaan ringgit, namun jika mereka yang terbabit secara langsung seperti pemain dan pasukan bola sepak negeri tidak memberi komitmen terhadap kehendak jurulatih baharu, maka skuad Harimau Malaya akan kekal seperti sekarang selamanya.

Kita pernah membawa jurulatih bertaraf dunia termasuk Claude Le Roy tetapi akhirnya tidak ke mana apabila pemain dan pasukan negeri mempunyai idea berlainan. Semoga ada sinar cahaya masa depan untuk Harimau Malaya di hutan dan di stadium.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca