PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz menegaskan beliau tiada masa untuk berfikir sama ada bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau tidak.
Ujarnya, memang ramai pihak yang bertanyakan soalan itu kepada beliau, namun fokus Tengku Zafrul pada masa ini adalah untuk menyelesaikan tugas dan amanah sebagai seorang menteri kabinet.
Secara peribadi, Tengku Zafrul mengakui tidak pernah terfikir untuk menceburi dunia politik dan hanya dipanggil membantu kerajaan berasaskan kepakaran beliau sebagai seorang teknokrat.
"Memang ramai bertanya, tetapi saya tidak mempunyai banyak masa berfikir mengenainya.
"Namun, saya tahu banyak orang minta supaya saya lebih bersifat terbuka dalam menentukan opsyen terbaik dalam karier politik.
"Pandangan peribadi saya, saya datang ke sini (menyertai kabinet) tanpa terfikir untuk menyertai politik dan kalian juga tahu apa yang berlaku dalam dunia politik Malaysia ketika ini (tidak stabil). Fokus saya kini adalah tugas selaku seorang menteri," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Premium dan Sinar Daily.
Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas mengenai desas-desus bekas Pengerusi CIMB Bank itu dikatakan bakal bertanding untuk kerusi Parlimen pada PRU15.
Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan kenyataan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang berpandangan Tengku Zafrul berpeluang cerah untuk memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU15 sekiranya bertanding sebagai calon UMNO.
Tengku Zafrul merupakan antara beberapa teknokrat yang dilantik menggalas jawatan menteri dan timbalan sewaktu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, persoalan sama ada Tengku Zafrul sudah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi tanda-tanya, walaupun ada pihak mengatakan Bersatu bersedia menawarkan kerusi pilihan raya kepada beliau.
Selain kerusi Parlimen Lembah Pantai, Tengku Zafrul turut dikaitkan bakal bertanding di Parlimen Kuala Pilah, susulan susur galur keluarga beliau adalah dari kawasan itu.
Klik di sini untuk terus membaca