PILIHAN Raya Negeri (PRN) menjadi peluang terbaik bagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk 'membunuh dan menguburkan' terus pengaruh gabungan Perikatan Nasional (PN) diketuai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebelum Pilihan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Negeri (PRN) menjadi peluang terbaik bagi Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk 'membunuh dan menguburkan' terus pengaruh gabungan Perikatan Nasional (PN) diketuai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Malah, PRN Johor memang sudah dijangka kerana kerajaan negeri pimpinan UMNO kini hanya memiliki majoriti tipis dengan memiliki 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berpandangan PRN Johor memang sudah dijangka dari awal selepas susulan kejayaan BN/UMNO meraih kemenangan besar dalam PRN Melaka, baru-baru ini.

Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, khabar angin mengenai PRN Johornya sudah mula tersebar selepas kematian bekas Menteri Besar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian, pada 21 Disember lalu.

Berikutan itu, UMNO adalah antara pihak berminat untuk mendesak diadakan PRN kerana mereka mahu berkuasa sepenuhnya ke atas pentadbiran kerajaan negeri selain mahu mengukur trend pengundian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Saya melihat PRN Johor ini mempunyai dua matlamat termasuk pertama untuk desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan Parlimen dan mempercepatkan PRU15.

"Kedua saya juga melihat PRN Johor ini menjadi medan kepada BN/UMNO menguburkan terus masa depan Bersatu terutama di Johor dan menguji keupayaan sebenar mereka untuk bergerak secara solo tanpa Pas atau mana-mana gabungan lain, dalam PRN15 nanti," katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, beliau yakin BN/UMNO akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana Pas berkemungkinan besar akan memilih untuk kekal bekerjasama dengan Bersatu menerusi gagasan PN dalam PRN Johor sama seperti di Melaka, sebelum ini.

Malah, Mohd Izani berkata, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed sendiri sudah memberikan bayangan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Pas selari mereka kekal bersama Bersatu.

Mohd Izani

"Saya berpandangan selagi Pas bekerjasama dengan Bersatu seperti di Melaka, saya tidak nampak akan meneruskan bekerjasama dengan mereka.

"UMNO mungkin menggunakan strategi sama seperti di Melaka di mana seperti mereka akan bergerak solo dan cuba menampilkan calon baharu dari kalangan golongan muda dan profesional untuk menarik sokongan pengundi pada PRN Johor nanti," katanya.

KUBU KUAT UMNO

Mohd Izani juga melihat PRN ini akan menjadi petanda atau indikator kepada BN/UMNO meraih sokongan pengundi pada PRU15 nanti.

"Kalau ikut perubahan landskap politik ramai pemerhatian akan melihat gelombang yang berlaku di negeri ini dahulu kerana Johor pernah menjadi kubu kuat UMNO suatu ketika dahulu.

"Malah, dalam PRU14 sebelum ini pun apabila sokongan BN/UMNO merosot di Johor maka ia akan memberikan impak besar kepada landskap politik negara. Jadi saya nampak PRN Johor ini akan menjadi petanda atau petunjuk kepada pola sokongan pengundi pada PRU15 nanti," katanya.

Beliau juga melihat BN dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk merampas kembali kebanyakan kerusi DUN yang kini dikuasai oleh ADUN UMNO yang melompat parti ke Bersatu selepas PRU14 lalu.

Ketika ini terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu), manakala AMANAH (enam) dan PKR (tujuh).

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa DUN di kawasan Parlimen Mersing terutamanya bakal dirampas kembali kebanyakan kerusi berkenaan dimenangi ADUN Bersatu dengan sokongan pengundi BN pada PRU14 lalu.

"Justeru, saya melihat calon Bersatu perlu bekerja lebih keras untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan kerana kemenangan mereka sebelum ini adalah atas tiket BN/UMNO," katanya.

Kedudukan terkini DUN Johor yang menyaksikan UMNO, Bersatu dan DAP mempunyai pengaruh besar di negeri itu.

Ditanya sama ada penularan Covid-19 bakal mempengaruhi kempen PRN Johor, Mohd Izani berkata, beliau yakin risiko penularan wabak berkenaan mampu dikurangkan jika semua pihak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas berunding dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebelum ini, Sinar Premium melaporkan gendang PRN kini semakin hangat apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN berkuat kuasa mulai, Sabtu lalu.

Berikutan itu, Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat, mengesahkan pihaknya akan menghantar surat pemakluman pembubaran DUN secepat mungkin kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan PRN Johor diadakan dalam tempoh terdekat.

Klik di sini untuk terus membaca