PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz memberi bayangan pelaksanaan cukai kepenggunaan atau lebih dikenali sebagai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkemungkinan bakal diperkenalkan semula bagi membendung... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz memberi bayangan pelaksanaan cukai kepenggunaan atau lebih dikenali sebagai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkemungkinan bakal diperkenalkan semula bagi membendung masalah ketirisan cukai.

Jelas beliau, sekiranya dilihat perbandingan antara GST dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), secara teorinya hasil kutipan lebih kurang sama, cuma dari segi praktikal GST lebih efisien kerana penipuan cukai sukar dilakukan.

Lebih malang, Tengku Zafrul mendedahkan hasil kerajaan merosot sebanyak RM20 bilion apabila SST kembali diperkenalkan, walaupun harga barangan kesan pengenalan semula SST adalah sama dengan GST.

"Isunya banyak ketirisan berlaku apabila SST kembali diperkenalkan sehingga menyebabkan kerajaan susah untuk mengesan mereka yang cuba lari daripada cukai.

"Itu sebabnya kita kena pertimbangkan cukai kepenggunaan (GST) semula kerana negara lain sudah buat.

"Cuma isunya adalah dari aspek penerangan berasaskan sudut ekonomi dan politik. Kalau semua orang setuju untuk jelaskan kepada rakyat dan rakyat terima, ia akan jadi mudah. Namun kalau rakyat tidak terima, manakala ahli politik serta kerajaan takut melaksanakannya, perkara itu sukar direalisasikan," katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul mengakui usul pelaksanaan GST, sekiranya diterima kerajaan dan rakyat, perlu dibentangkan semula oleh beliau di Parlimen susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah membatalkan akta itu sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perkara pokok yang harus diputuskan kerajaan sebelum usul pelaksanaan GST dibentangkan adalah berapa peratus kadar GST yang sesuai dikenakan.

"Jika dahulu kadarnya enam peratus, adakah kita perlu turunkan kadar itu dan kalau mahu turun, berapa peratus yang perlu dipertimbangkan?

"Jika kerajaan turunkan kadar GST terlalu rendah, tidak ada makna kerana hasilnya akan kurang daripada sekarang.

"Bagi saya, perkara paling penting adalah penerimaan rakyat dan jika kita bersikap telus dan menunjukkan bahawa duit yang dikutip melalui GST ini akhirnya kembali kepada mereka, saya yakin pelaksanaannya akan lebih mudah," katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul melihat keperluan mengembalikan GST berasaskan keperluan membantu rakyat dan membantu meningkatkan belanja pembangunan negara.

Jelasnya, langkah itu penting untuk jangka masa panjang terutamanya dalam membolehkan negara mencapai sasaran penurunan defisit belanjawan negara kepada tiga atau lima peratus menjelang tahun 2025.

"Untuk hasil negara, kita perlukan hasil tambahan untuk pembangunan negara kerana daripada belanja pembangunan ini akan ada kesan manfaat berganda dari segi peluang pekerjaan dan sebagainya.

"Untuk jangka masa panjang, kita perlu melihat semula (GST) cuma penerangan mengenainya mesti jelas. Tetapi cadangan ini masih belum lagi dibawa ke Kabinet kerana saya rasa pemasaan itu penting.

"Sekarang dengan keadaan pandemik dan bencana banjir besar baru-baru ini, pemasaan kena tepat. Apabila ekonomi negara sudah kembali ke landasan betul, lebih mudah untuk kita bercerita mengenai hal ini. Kalau tidak penerimaan rakyat terhadap GST akan kurang," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca