PUTRAJAYA - Sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi demi memastikan kedudukan fiskal negara terus mampan dan berdaya saing pada masa hadapan. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Sudah tiba masanya untuk kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi demi memastikan kedudukan fiskal negara terus mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, kerajaan kena fokus dalam merasionalisasikan pemberian subsidi selain mewujudkan kaedah pemberian secara bersasar bagi membolehkan sebahagian peruntukan itu disalurkan bagi tujuan perbelanjaan pembangunan.

Bagaimanapun, beliau mengakui pelaksanaannya perlulah berasaskan naratif dan pemasaan (timing) yang betul dengan rakyat perlu dididik untuk memahami asas rasionalisasi subsidi akhirnya akan memberi kebaikan kepada mereka.

Tambah beliau, antara subsidi yang perlu dipertimbangkan untuk dirasionalisasi adalah minyak petrol dan diesel serta tenaga elektrik.

"Persoalannya adalah kepada siapa sepatutnya pemberian subsidi itu disasarkan? Sekarang ini pemberian subsidi diberikan secara pukal dan disebabkan masalah ini, kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan begitu banyak.

"Memandangkan keadaan fiskal negara berada dalam keadaan terdesak, bantuan-bantuan subsidi yang lebih bersasar perlu dipertimbangkan. Namun, pelaksanaannya perlulah berasaskan naratif dan timing yang betul," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad dan Sinar Daily pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul mendedahkan pemberian subsidi secara bersasar sudah diimplementasi oleh negara-negara maju.

Bahkan, beliau menjelaskan kerajaan sebenarnya sudah memiliki teknologi dan data bagi tujuan itu.

Walau bagaimanapun, Tengku Zafrul mengakui kerajaan perlu melihat keadaan politik semasa dan tidak boleh sekadar 'menilik' kepada nombor sahaja.

"Sebagai contoh, harga siling minyak petrol RON95 adalah RM2.05 seliter, sedangkan harga sebenar sudah mencecah lebih RM3 jika dibandingkan dengan negara-negara jiran dan negara maju. Lebih mengejutkan, kita merupakan satu-satunya negara pengeluar minyak yang masih meletakkan harga minyak petrol rendah berbanding Arab Saudi.

"Segalanya terserah kepada kesungguhan politik kerajaan untuk melaksanakannya memandangkan ada juga golongan berkemampuan yang tidak senang sekiranya cadangan pemberian subsidi bersasar diperkenalkan.

"Satu lagi isu adalah politik negara juga perlu stabil untuk kerajaan membuat keputusan kritikal," katanya.

BELUM BENTANG PADA KABINET

Ditanya sama ada kerajaan sudah memulakan langkah ke arah merasionalisasikan subsidi, Tengku Zafrul menegaskan kerajaan masih belum membuat keputusan dengan status perbincangan sudah bermula di peringkat kementeriannya dan belum dibentangkan dalam mesyuarat kabinet.

Ujarnya, ia juga merupakan cadangan beliau sendiri, Kementerian Kewangan dan kementerian-kementerian lain berkaitan.

"Kita sedang membuat kajian dan mekanisme pelaksanaan inisiatif pemberian subsidi bersasar. Kita akan kenal pasti teknologi dan data apa yang sesuai digunakan dan menunjukkan unjuran betul bagi mengelakkan ketirisan subsidi.

"Pada masa sama, naratif pelaksanaannya harus jelas difahami rakyat. Jika kita memiliki semua ramuan ini, barulah kita bersedia membawa isu ini kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan satu keputusan dibuat.

"Tetapi saya rasa dari segi tempoh masa untuk memuktamadkan mekanisme pelaksanaan rasionalisasi subsidi, kami masih memerlukan tempoh beberapa bulan lagi," tegasnya.

Selain itu, Tengku Zafrul turut melihat aspek ‘timing’ pelaksanaannya juga penting dengan kerajaan perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa fasa pemulihan ekonomi negara sudah bermula dan memberangsangkan.

"Kalau kita dapat menunjukkan fasa pemulihan ekonomi negara sudah bermula selain merujuk data-data lain seperti kadar eksport dan import negara, indeks keyakinan pelabur, indeks pengeluaran industri menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

"Lebih mudah untuk kita menjelaskan kepada rakyat bahawa ekonomi negara sudah pulih dan kerajaan pastinya akan diberikan ruang untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi.

"Sekali lagi, tempoh pemasaan penting. Kalau rakyat masih lagi susah dan ekonomi belum menunjukkan tahap pertumbuhan sepatutnya, cadangan itu akan ‘tenggelam’," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca