MATLAMAT Pembangunan Mampan 2030 (SDG) digubal pada tahun 2015 bagi menamatkan kemiskinan, memerangi ketidaksamaan dan ketidakadilan serta menangani perubahan iklim menjelang tahun 2030. Antara objektif SDG adalah untuk menjadikan bandar... Klik di sini untuk terus membaca

MATLAMAT Pembangunan Mampan 2030 (SDG) digubal pada tahun 2015 bagi menamatkan kemiskinan, memerangi ketidaksamaan dan ketidakadilan serta menangani perubahan iklim menjelang tahun 2030. Antara objektif SDG adalah untuk menjadikan bandar dan penempatan manusia yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampan.

Menjelang tahun 2030, perbandaran harus berkemampuan menawarkan kehidupan yang inklusif dan mampan, atau juga disebut lestari dengan perumahan yang boleh diakses, mencukupi, selamat dan mampu milik; sistem pengangkutan mampan serta menyediakan akses kepada ruang hijau dan ruang awam.

Pembangunan mampan merangkumi tiga domain iaitu ekonomi, persekitaran dan sosial. Namun, kajian menunjukkan kelestarian sosial paling kurang dititikberatkan dalam pembangunan.

Aksesibiliti merupakan salah satu penyumbang utama dalam kelestarian sosial. Ia kriteria asas bagi pengukuran kebebasan penyertaan dan keterangkuman orang kurang upaya (OKU).

Konvensyen Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Orang Kurang Upaya mengiktiraf kepentingan aksesibiliti terhadap persekitaran fizikal, sosial, ekonomi dan budaya, kesihatan dan pendidikan, serta maklumat dan komunikasi.

Ia membolehkan OKU menikmati hak dan kebebasan asasi manusia. Fasiliti dan perkhidmatan harus boleh diakses tanpa diskriminasi yang menghalang OKU daripada menyertai aktiviti dalam masyarakat.

TANGGUNGJAWAB

Persekitaran alam bina yang boleh diakses dengan mudah membuka peluang kepada OKU untuk hidup berdikari. Namun, tidak dinafikan kehidupan berdikari turut memerlukan tanggungjawab kolektif pelbagai pihak untuk dijayakan.

Aksesibiliti fizikal sangat penting terutama ke lokasi yang menawarkan pelbagai peluang kehidupan lebih baik kepada semua seperti peluang pekerjaan, pendidikan dan peluang dalam menikmati kehidupan sosial. Walaupun OKU berhak menikmati kemudahan sedia ada dalam masyarakat, terdapat banyak kajian melaporkan bahawa OKU kurang berpeluang menyertai pelbagai aktiviti berbanding mereka yang normal.

Ini kerana reka bentuk persekitaran alam bina yang tidak boleh diakses, langsung membentuk situasi tidak adil. Halangan fizikal merenjatkan penyertaan penuh OKU dalam masyarakat walaupun diakui aksesibiliti mempengaruhi keterangkuman seseorang secara berbeza memandangkan setiap manusia mempunyai keunikan dan keupayaan tersendiri berdasarkan biografi individu.

Antara faktor utama dalam menjayakan penyediaan aksesibiliti fizikal yang inklusif berkait dengan perancangan dan kawalan bangunan termasuk isu implementasi dan penguatkuasaan reka bentuk sejagat bagi bangunan, pengangkutan dan kemudahan awam.

Kepakaran, sumber kewangan termasuk prioriti peruntukan, dasar politik dan polisi turut menjadi menyumbang utama dalam penyediaan reka bentuk sejagat. Reka bentuk sejagat yang tentunya mesra OKU berupaya membantu menyuraikan kemelut aksesibiliti fizikal bagi keterangkuman OKU dan mereka yang mengalami masalah mobiliti walaupun bukan OKU berdaftar. Penyediaan persekitaran mudah diakses perlu dilihat sebagai tanggungjawab penyedia fasiliti dan perekabentuk dalam.

Berbalik kepada persoalan kelestarian sosial, dasar dan rancangan bersepadu perlu ditekankan ke arah kehidupan inklusif, berkebolehan dalam penyesuaian kepada perubahan iklim serta berdaya tahan terhadap bencana.

Adalah penting untuk mengenal pasti halangan fizikal dalam kehidupan seharian, apatah lagi di saat bencana.

Majoriti penyelidik menggunakan senarai semak audit akses bangunan dan ruang awam, namun pengalaman hidup OKU dari perspektif psikologi dan emosi dalam mendepani halangan tersebut sering diabaikan. Walhal, ketidakupayaan dan persekitaran alam bina adalah berkait rapat.

* Dr Hikmah Kamarudin Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Ukur Bangunan, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, UiTM Shah Alam Juga Penasihat Persatuan Advokasi Kecederaan Saraf Tunjang Malaysia (MASAA)

Klik di sini untuk terus membaca