BERAKHIR tahun 2021 kita dikejutkan dengan bencana banjir yang melanda beberapa buah kawasan sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit dan kehilangan nyawa. Sudah semestinya satu perkara yang menjadi kegusaran adalah kehidupan... Klik di sini untuk terus membaca

BERAKHIR tahun 2021 kita dikejutkan dengan bencana banjir yang melanda beberapa buah kawasan sehingga mengakibatkan kerugian jutaan ringgit dan kehilangan nyawa. Sudah semestinya satu perkara yang menjadi kegusaran adalah kehidupan pascabanjir.

Kerosakan harta benda memerlukan penggantian dengan yang baharu atau perlu diperbaiki sekiranya masih dalam berkeadaan baik. Sekiranya sumber kewangan terhad, mangsa banjir perlu mencongak apa yang perlu didahulukan dan ditangguhkan. Ini semua memerlukan perancangan kewangan yang baik.

Melihat senario ini sudah semestinya mangsa-mangsa banjir perlu merancang perbelanjaan dengan berhemah agar sumber kewangan yang mereka ada mencukupi. Tidak dinafikan pelbagai bantuan daripada pelbagai agensi sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban.

Dalam membuat perancangan seharusnya melihat kepada bagaimana untuk menggunakan sumber kewangan terhad bagi memenuhi tuntutan kehidupan pascabanjir. Memenuhi keperluan adalah aspek penting demi kelangsungan hidup pascabanjir.

Menurut ekonomi Islam, sumber yang terhad perlu diagihkan mengikut empat asas utama iaitu dharuriyat (keperluan asas), hajiyat (keselesaan), tahsinat atau kamalat (kesempurnaan kehidupan) dan tarafiyat (berlebihan).

KEPERLUAN

Bagi mendepani kehidupan pascabanjir, sudah semestinya sumber kewangan perlu dirancang bagi memenuhi tuntutan dharuriyat dan hajiyat. Dharuriyat merujuk kepada tuntutan dalam memenuhi keperluan asas yang wajib dipenuhi. Antaranya makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan dan pendidikan.

Dari segi sumber makanan dan pakaian mungkin pelbagai agensi telah memberi sumbangan kepada mereka. Oleh itu, sedikit bebanan ditanggung dalam memenuhi tuntutan asas tersebut dapat diringankan. Tetapi bagaimana tuntutan dalam penyediaan tempat tinggal setelah rumah mereka teruk dilanda banjir. Ini memerlukan sumber kewangan yang agak tinggi untuk membaik pulih kediaman.

Musibah banjir ini juga seharusnya memberi kefahaman kepada kita tentang kepentingan perlindungan takaful pemilik rumah dan isi rumah. Justeru, rumah yang bakal dibina seharusnya dilindungi dengan pelan takaful ini.

Bagi aspek hajiyat pula, ia merujuk kepada memenuhi kehidupan agar menjadi lebih selesa untuk meningkatkan kualiti kehidupan. Dalam senario kehidupan pascabanjir, sekiranya sumber kewangan yang ada telah diagihkan demi memenuhi keperluan asas mempunyai lebihan, bolehlah tuntutan aspek ini dipenuhi. Aspek hajiyat bukanlah satu aspek yang wajib dipenuhi kerana ia lebih kepada sifat untuk memenuhi kehendak dalam memastikan kehidupan menjadi lebih selesa.

Melihat kepada aspek ini, sudah semestinya pengagihan sumber kewangan menjadi keutamaan dalam memenuhi aspek dharuriyat. Seandainya mangsa banjir tiada keupayaan dalam merancang kewangan akibat daripada keterbatasan sumber kewangan, maka ia menjadi tanggungjawab pemerintah untuk memastikan ke semua mangsa banjir mempunyai keupayaan dalam memenuhi tuntutan keperluan asas.

Jika dilihat kesemua bantuan yang disediakan oleh kerajaan kepada mangsa banjir adalah untuk membantu memenuhi keperluan asas mereka atau lebih kepada aspek dharuriyat.

Justeru, dalam membuat perancangan perbelanjaan pascabanjir perlulah mempunyai matlamat apa yang ingin dicapai sama ada dalam jangka masa pendek atau panjang. Kehidupan masih lagi panjang dan semestinya perlu dicorak semula.

Bagaimanapun, tiada siapa menduga dan merancang semua ini akan berlaku. Oleh itu, hadapilah dugaan ini dengan tenang dan jadikan ia sebagai panduan dalam mendepani kehidupan yang mendatang.

* Mohd Faizal Kamarudin Pensyarah Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Puncak Alam

* Dr Mohd Rahim Khamis Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Puncak Alam

Klik di sini untuk terus membaca