BARISAN Nasional (BN) Negeri Johor telah mengumumkan bahawa mereka akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tidak berhasrat untuk mengadakan pakatan dengan mana-mana parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan... Klik di sini untuk terus membaca

BARISAN Nasional (BN) Negeri Johor telah mengumumkan bahawa mereka akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tidak berhasrat untuk mengadakan pakatan dengan mana-mana parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Ini bermakna, kerusi-kerusi hanya akan dibahagikan antara UMNO-MIC-MCA sahaja.

PRN Johor dengan ini bakal menyaksikan situasi yang hampir sama dengan Melaka iaitu BN bergerak solo tanpa rakan-rakan sekutu yang lain di peringkat persekutuan.

Selepas Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan pembubaran dewan undangan pada Sabtu, tumpuan kini terarah kepada persoalan siapakah yang akan ditonjolkan sebagai calon Menteri Besar dan calon-calon lain.

Melaka telah mencatatkan pelbagai pendekatan dan dimensi baharu tentang tatacara berkempen kerana pandemik termasuklah buat pertama kalinya menyaksikan BN/UMNO dan kesemua parti besar yang bertanding mengumumkan siapakah calon Ketua Menteri mereka.

Ini sekali gus membuka laluan untuk perkara yang sama berulang di negeri-negeri lain pula termasuklah Johor.

Setakat ini, BN/UMNO sudah menyenarai pendek tiga nama sebagai calon Menteri Besar mereka. Salah seorang daripadanya adalah penyandang jawatan sekarang manakala bahagian-bahagian diminta mengemukakan dua nama calon untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

Terdapat beberapa muka baharu yang akan muncul termasuk seorang calon yang berusia 25 tahun yang disebut-sebut akan bertanding di salah sebuah DUN di Muar.

Pada masa yang sama, Sinar Harian difahamkan, ada anggota Exco kerajaan negeri yang telah menyatakan hasrat untuk bersara kerana telah lebih tiga penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat dan ada juga yang tidak akan mempertahankan kerusi mereka kerana berhasrat untuk bertanding di kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Wakil daripada Pemuda, Wanita dan Puteri turut inginkan sejumlah peratusan kerusi diisi oleh mereka dan ini semua menambah bebanan pengerusi parti negeri untuk membuat keputusan muktamad kerana apa jua keputusan yang dibuat akan memberi kesan kepada undi yang bakal mereka peroleh kelak.

Terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan seorang pelawak popular daripada program Maharaja Lawak akan diletakkan bertanding. Begitu juga desas-desus yang menyebut seorang ahli sukan popular dari Johor akan turut diletakkan sebagai calon.

Kedua-duanya memiliki pengaruh yang sangat besar dan yang pastinya meletakkan mereka sebagai calon bakal memberi kelebihan kepada parti yang mereka wakili - itu pasti. Cuma soalnya, parti manakah yang akan mereka wakili? Mungkinkah UMNO?

Dalam pada itu, adalah difahamkan juga yang MCA berhasrat untuk bertanding di kerusi yang mereka yakin akan menang sahaja bukan berdasarkan kuota kerusi sepertimana yang menjadi amalan sebelum-sebelum ini. MIC pun turut mengambil langkah yang sama dan mahu bertanding di lima kerusi sahaja. Sebelum dewan dibubarkan, MIC memiliki dua kerusi dewan.

Cabaran mereka adalah untuk mempertahankan kerusi dalam tangan (MIC) dan menawan kerusi-kerusi yang dikuasai oleh DAP.

DAP akan mempertahankan 14 kerusi yang mereka sandang sekarang tetapi jika diambil kira sentimen di Melaka, MCA dan MIC Johor harus berasa teruja untuk membuktikan yang mereka juga mampu merampas beberapa kerusi daripada tangan DAP sepertimana yang telah dibuktikan oleh BN Melaka. Yang menjadi pertanyaan besar sekarang ialah PKR. Mereka tumpas dengan teruk di Sarawak dan Melaka. Mereka harus bangkit dan membuktikan yang mereka masih relevan dan menjadi pilihan pengundi.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mempunyai 11 wakil dalam dewan dan Pas (1) yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keputusan BN/UMNO untuk membubarkan DUN tanpa terlebih dahulu mendapatkan restu Exco kerajaan negeri akan berhadapan dengan situasi yang amat sukar dan berat.

BANYAK PENJURU

Ini kerana, sebaik sahaja dewan dibubarkan mereka bukan lagi sebahagian daripada kerajaan negeri lagi dah. Perikatan yang mereka bentuk bersama BN/UMNO dalam membentuk kerajaan negeri sebelum ini telah berakhir.

Mereka kini perlu menggerakkan jentera bahagian dalam keadaan yang tidak benar-benar bersedia. Pada pilihan raya yang lepas, Bersatu menang besar kerana bertanding sebagai sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH). Kini tidak lagi.

Dengan keputusan BN/UMNO untuk memasuki gelanggang secara solo tanpa mereka (sama seperti di Melaka), Bersatu dan Pas perlu mencari formula ajaib yang paling berkesan untuk bersaing. Apatah lagi di Johor, Parti Amanah Negara (Amanah) yang sebelum ini menang enam kerusi akan turut berebut untuk menawan kerusi yang sama.

Logik mengatakan sudah tentulah kerusi yang disandang oleh Amanah, Pas akan masuk bertanding. Campur UMNO ia tetap akan menjadi pertandingan tiga penjuru. Ini belum diambil kira calon Bebas.

Di Melaka, apa yang dapat kita saksikan adalah, undi BN/UMNO tidak pecah. Yang pecah ialah undi-undi parti lain. Ini berlaku kerana terlalu ramai pemain yang masuk gelanggang untuk mencuri jumlah undi atas pagar dan mereka yang tidak mahukan BN/UMNO.

Jumlah ini pula pecah tiga atau empat kerana banyak penjuru. Jadi, peluang untuk menang hanya wujud jika pertandingan adalah satu lawan satu. Masuk lebih dari itu, kelebihan adalah di tangan BN/UMNO.

Masuk bertanding sampai lima enam penjuru pun semata-mata untuk meraikan demokrasi tiada maknanya jika masuk hanya untuk kalah dan membuka ruang kepada pihak lain untuk menang mudah serta besar.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca