SHAH ALAM - Pemimpin UMNO menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan menang majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, ia berikutan parti tersebut berada dalam kedudukan yang cukup baik jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas.
Tambah beliau, rakyat juga sudah tidak mahu mengambil risiko setelah melihat kegagalan yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
"Kalau kita lihat pembangkang hari ini berada dalam keadaan kucar-kacir. DAP sekarang pun mereka sedang mengalami perpecahan yang sangat kronik disebabkan banyak pihak tidak berpuas hati dengan kepimpinan mereka, malah ada yang keluar daripada parti tersebut.
"Ada sebab rakyat tidak nampak keuntungan yang boleh diberikan sekiranya PH terus memerintah. Jadi, tawaran BN adalah lebih baik dan saya percaya parti ini akan menawarkan kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.
"Saya juga percaya rakyat akan memberi mandat kepada BN sekali gus memenangi majoriti besar pada PRN Johor nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Sabtu, Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad mengambil langkah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai usaha menyelesaikan kemelut politik di negeri itu.
Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, PRN Johor itu bukanlah berpaksikan kepada kepentingan politik semata-mata, sebaliknya memastikan negeri itu lebih stabil dan berdaya maju.
Seorang lagi ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, BN sudah tentunya akan bekerja kuat bagi memastikan menang majoriti dua per tiga pada PRN Johor sepertimana yang berlaku di Melaka baru-baru ini.
"Selain itu, kemenangan ini juga penting bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk di Johor tanpa menghadapi apa-apa cabaran lagi akibat ketidakstabilan politik sebagaimana sekarang.
"Saya optimis BN di semua negeri dan peringkat pusat akan melakukan usaha bersama ke arah ini, malah yakin BN akan dijadikan pilihan memimpin negeri Johor dalam keadaan kerajaan yang lebih kukuh dan kuat sepertimana kemenangan yang berlaku pada PRN Melaka yang lalu,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca