SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menjadi indikator hala tuju kepada semua parti politik untuk merancang strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menjadi indikator hala tuju kepada semua parti politik untuk merancang strategi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berpendapat, semua parti politik akan memperbaiki kelemahan seterusnya merancang gerakan lebih bersistematik selepas PRN Johor nanti.

"Saya melihat PRN Johor sebagai ‘kertas litmus’ buat semua parti politik, tidak kira di blok pembangkang mahupun kerajaan di mana mereka akan mengolah semula rancangan yang telah diatur, gerakan serta hala tuju menjelang pilihan raya yang lebih besar.

"Justeru PRN Johor ini akan menjadi penanda aras untuk melihat bagaimana corak pengundi sekali gus memberi bayangan momentum PRU15 akan datang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu Mujibu tidak menolak kemungkinan krisis kepercayaan masyarakat Johor bakal memberi impak kepada peratusan keluar mengundi berikutan PRN bukanlah perkara penting selepas negeri itu dilanda musibah banjir.

Mujibu

Katanya, kebanyakan penduduk di Johor masih terkesan dengan musibah yang melanda dan sudah pasti keputusan untuk keluar mengundi bukanlah sesuatu yang perlu diberi keutamaan.

"Jika melihat pattern itu, peratusan (keluar mengundi) akan kurang selain faktor pengundi luar yang mungkin tidak akan mengambil cuti semata-mata balik mengundi.

"Ditambah pula dengan isu mangsa banjir di Johor yang lambat mendapat bantuan ketika banjir, maka sudah pasti ia mempengaruhi kepercayaan rakyat kepada pemimpin yang ada,” ujarnya.

Sementara itu Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berpandangan, PRN Johor menjadi kayu pengukur sekali gus memberi bayangan parti yang bakal membentuk kerajaan Persekutuan sejurus PRU15.

Mohammad Tawfiq

Beliau berkata, PRN Johor boleh dikatakan seperti ‘ibu’ kepada kesemua siri PRN berikutan dua parti besar dan tokoh politik ‘dilahirkan’ di negeri itu.

"UMNO dilahirkan di Johor dan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dari negeri itu.

"Saya jangka parti yang bertanding akan menggunakan formula sama ketika menyertai siri PRN sebelum ini dan sudah pasti UMNO dan Muhyiddin tidak mahu dimalukan di negeri sendiri,” katanya.

Sementara itu Mohammad Tawfiq tidak menolak kemungkinan UMNO dan Barisan Nasional akan bergerak secara solo dan semua parti akan menjadikan pilihan raya ini sebagai penggalak untuk memenangi PRU15 akan datang.

Klik di sini untuk terus membaca