PUTRAJAYA - Cadangan pengenalan sistem cukai durian runtuh bagi meningkatkan kutipan hasil negara merupakan satu idea bahaya dan boleh menyebabkan pelabur takut untuk melabur di negara ini.Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku... Klik di sini untuk terus membaca
PUTRAJAYA - Cadangan pengenalan sistem cukai durian runtuh bagi meningkatkan kutipan hasil negara merupakan satu idea bahaya dan boleh menyebabkan pelabur takut untuk melabur di negara ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, beliau tidak menafikan cadangan itu sekiranya dilaksanakan akan membantu meningkatkan hasil pendapatan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau mengenal pasti kesan bahaya adalah dari segi jumlah pelaburan asing yang masuk ke Malaysia memandangkan negara-negara jiran tidak memperkenalkan cukai ini.

"Jadi syarikat yang akan melabur di negara kita mungkin tidak mahu melabur atau pelabur sedia ada pun mungkin akan meninggalkan Malaysia untuk melabur di negara lain.

"Ini (cukai durian runtuh) merupakan satu idea yang bahaya," katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Premium dan Sinar Daily pada Jumaat.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang termasuk bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan cukai durian runtuh.

Jelas Ahli Parlimen Langkawi itu, langkah itu penting bagi menampung perbelanjaan negara yang semakin meningkat susulan kerajaan perlu mengeluarkan peruntukan besar untuk membantu rakyat terkesan pandemik Covid-19 dan bencana banjir sejak dua tahun lalu.

Bahkan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim turut melihat cadangan pengenalan cukai durian runtuh sebagai solusi kerajaan untuk 'bail out' mangsa banjir yang terjejas teruk selain tidak perlu bergantung kepada pengeluaran Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul mengakui kerajaan sudah mengumumkan pelaksanaan Cukai Makmur secara 'one-off' untuk setahun sahaja pada tahun 2022 terhadap syarikat yang memiliki pendapatan boleh cukai melebihi RM100 juta.

Jelas beliau, pengenalan cukai tambahan kepada syarikat-syarikat besar ini adalah sebagai kos untuk menanggung perbelanjaan negara kesan daripada Covid-19.

"Bagi syarikat-syarikat yang dikenakan Cukai Makmur, RM100 juta pertama yang diperoleh mereka akan dikenakan cukai sebanyak 24 peratus.

"Lebihan daripada RM100 juta keuntungan syarikat yang boleh dicukai pula, kerajaan akan mengenakan kadar cukai sebanyak 33 peratus. Kita akan kenakan cukai kepada syarikat-syarikat besar tahun ini sebagai kos untuk menanggung Covid-19," katanya. Klik di sini untuk terus membaca