PAKAR politik berbeza pandangan sama ada Datuk Seri Zahid Hamidi wajar meletak jawatan selaku Presiden UMNO berikutan keputusan mahkamah mengarahkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah pecah amanah... Klik di sini untuk terus membaca
PAKAR politik berbeza pandangan sama ada Datuk Seri Zahid Hamidi wajar meletak jawatan selaku Presiden UMNO berikutan keputusan mahkamah mengarahkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Yayasan Akal Budi.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berpandangan, kes melibatkan Ahmad Zahid masih perlu menempuh proses pembelaan diri yang panjang dan opsyen meletak jawatan sudah terlewat untuk dibangkitkan.

"Buat masa ini beliau telah diarah membela diri oleh mahkamah namun keputusan sama ada bersalah atau tidak masih jauh untuk diputuskan dan sekiranya beliau berhasrat meletak jawatan Presiden UMNO sudah pasti ia dilakukan awal lagi," kata Ahmad Atory kepada Sinar Premium.

Beliau menambah, politik Malaysia sememangnya aneh berikutan sokongan tetap dizahirkan penyokong parti walaupun pemimpin sedang berdepan pertuduhan di mahkamah.

"Lihat sahaja Datuk Seri Najib, walaupun sedang menjalani proses rayuan di mahkamah namun beliau masih diberi layanan dan sambutan mesra penyokong sewaktu turun membantu jentera UMNO ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari.

"Ini membuktikan, politik negara kita sememangnya aneh dan kes mahkamah melibatkan pemimpin parti bukan satu isu besar kepada penyokong tegar sesuatu parti," katanya lagi.

Ahmad Atory juga menekankan, maruah parti UMNO akan tercalar sekiranya Ahmad Zahid meletak jawatan pada waktu ini berikutan ia umpama tunduk kepada kemahuan musuh-musuh politik parti itu.

"Peletakan jawatan umpama satu isyarat bahawa Ahmad Zahid mengaku bersalah terhadap segala pertuduhan sedangkan parti itu percaya apa yang berlaku adalah satu konspirasi politik," katanya lagi.

Ditanya sama ada arahan bela diri terhadap Ahmad Zahid bakal memberi implikasi buruk terhadap UMNO/BN dalam mendepani PRN Johor kelak, Ahmad Atory berpendapat UMNO masih tetap berpeluang menang.

"Harus diingat majoriti ahli dan penyokong UMNO memilih parti bukan pemimpin atau calon. Pada PRN Johor yang bertanding adalah parti bukan Presiden UMNO justeru parti itu masih berpeluang menang.

"Dua PRN sebelum ini (Melaka dan Sarawak) juga membuktikan sokongan penyokong UMNO tegar terutama di luar bandar tidak goyah walaupun parti mempunyai pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah," katanya lagi.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah pada Isnin memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 12 pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan; lapan pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 dan 27 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUA).

Ini berikutan pihak pendakwaan berjaya menunjukkan terdapat kes prima facie (tertuduh perlu menjawab) terhadap bekas timbalan perdana menteri tersebut.

AHMAD ATORY HUSSAIN


IKTIBAR DARI JEPUN

Sementara itu, bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid, Ahmad Zahid seharusnya mengambil iktibar daripada keberanian pemimpin Jepun meletak jawatan sekiranya berdepan isu integriti.

"Gesaan agar Ahmad Zahid meletak jawatan kerap didengar sejak tahun lalu dan harus diingat tiada pemimpin yang kebal daripada kedaulatan undang-undang.

"Maka UMNO harus berani mengambil langkah untuk mengadakan pemilihan dalaman parti sesuai dengan keperluan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS). Hal ini boleh dilakukan menerusi gesaan ahli UMNO itu sendiri bermula daripada cawangan hingga ke peringkat akar umbi," ujar Kartini.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan adakah benar penyokong UMNO seolah menutup mata dan tetap memberikan sokongan terhadap pemimpin yang berdepan kes mahkamah, Kartini tidak menafikan ada segelintir yang obses dalam mengidolakan pemimpin.

"Namun ada ramai lagi penyokong UMNO yang berpijak di bumi nyata dan tidak mahu kluster mahkamah ini berada di dalam parti," ujar beliau.

Kartini turut menyatakan, faktor 'tidak kisah' tentang adanya kluster mahkamah dalam parti bukan sebab utama UMNO berjaya meraih kemenangan pada PRN Melaka dan Sarawak lalu.

"Kemenangan UMNO pada kedua-dua PRN terbabit harus dinilai secara seimbang iaitu adanya faktor penolak dan faktor penarik.

"Faktor penolak ialah Pakatan Harapan (PH) dilihat lemah dan gagal dalam tempoh dua tahun yang diberikan. Rakyat merasakan PH tidak menjaga kebajikan orang Melayu, meremehkan sistem beraja dan perlembagaan selain gagal menunaikan memorandum yang dijanjikan.

"Faktor penarik pula ialah UMNO sedia mencalonkan muka baharu dan muda serta meletakkan kesungguhan untuk menjadi parti yang menjuarai aspirasi kepimpinan Melayu dalam negara pelbagai etnik, menunjukkan kesungguhan membantu rakyat dan negara mendepani Covid- 19 selain menzahirkan Pelan Pemulihan Negara dengan bantuan bersifat terangkum untuk setiap lapisan rakyat," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca